Friday, March 28, 2014

pemilik kolam tertipu


ARKIB : 24/03/2014

Pemilik kolam ikan dakwa jadi mangsa tipu


TENGKU Azman Tengku Jaafar menunjukkan laporan polis mengenai kes penipuan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini. - UTUSAN/HASHIM P. MAMAT
KUALA KANGSAR 23 Mac - Seorang pemilik kolam ikan di Kampung Kledang di sini, mendakwa ditipu seorang lelaki yang mengajaknya untuk menganjurkan satu pertandingan memancing secara bersama, tetapi sebenarnya tidak wujud.
Sebaliknya, suspek menghilangkan diri selepas mengutip semua bayaran yuran pertandingan daripada peserta.
Pemilik kolam tersebut, Tengku Azman Tengku Jaafar, 57, berkata, dia didatangi lelaki itu bulan lalu yang mengajaknya menganjurkan pertandingan memancing dengan hadiah wang tunai RM3,000 dan sebuah enjin bot kepada pemenang.
Katanya, dia yang percaya kerana lelaki itu menggunakan nama pemimpin tempatan, bersetuju setelah berbincang tentang pembahagian keuntungan antara mereka.
"Namun selepas mengutip yuran penyertaan daripada para peserta, lelaki itu menghilangkan diri dan sehingga kini tidak dapat dihubungi lagi.
"Hasil siasatan, lelaki itu tidak pernah mendapat kerjasama daripada pemimpin seperti didakwa," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar di sini kelmarin.
Berikutan itu, Tengku Azman berkata, dia terpaksa membatalkan pertandingan memancing berkenaan yang dijadualkan pada 29 Mac ini kerana tidak mampu menyediakan hadiah tersebut.
"Saya berharap peserta yang telah membayar yuran pertandingan tidak menyalahkan saya ekoran pembatalan itu kerana saya juga menjadi mangsa penipuan.
"Mereka yang telah membayar yuran diminta datang jumpa saya supaya tindakan lanjut boleh dibuat," jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140324/je_01/Pemilik-kolam-ikan-dakwa-jadi-mangsa-tipu#ixzz2xFOvAwmF
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment