Monday, March 17, 2014

akibat percaya tilik nasib


Tilik nasib: Penoreh getah ditipu RM12,492


Azid Ismail (kiri) menunjukkan iklan yang dipercayai terlibat dengan penipuan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut, Pahang, semalam. - UTUSAN/M.Rizal Nor
JERANTUT 12 Mac - Gara-gara ingin cepat kaya, seorang penoreh getah kerugian RM12,492 akibat terpedaya dengan iklan tilik nasib.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Azid Ismail berkata, mangsa yang merupakan seorang lelaki India berusia 50 tahun dari Damak di sini, ternampak iklan tilik nasib itu di sebuah kedai.
Beliau berkata, mangsa mengambil kertas iklan tersebut dan terus menghubungi seorang lelaki digelar Master Mi Chai yang dipercayai menetap di Pasir Mas, Kelantan.
“Mangsa kemudian diminta membayar RM50 bagi membolehkan lelaki yang dipercayai bomoh Siam itu melakukan upacara mengubah nasibnya.
“Suspek kemudian menyuruh mangsa membeli satu nombor ramalan manakala satu nombor lagi dibeli olehnya namun mangsa perlu membayar RM250,“ katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.
Menurut Azid, nombor yang dibeli oleh mangsa tidak tepat, tetapi nombor yang ada pada suspek didakwa meraih hadiah utama kira-kira RM7 juta dan mangsa dikehendaki membayar RM6,000 jika ingin mendapatkan wang tersebut.
Tambahnya, mangsa bersetuju dan menyerahkan wang tersebut melalui akaun bank namun suspek menghubungi mangsa agar menambah lagi RM6,192.
“Setelah semua wang diterima, suspek kemudian memberitahu mangsa bahawa dia perlu membayar RM18,000 sekiranya ingin mengubah nasib menjadi lebih baik.
“Mangsa yang berasa tertipu kerana suspek tidak menyerahkan wang yang dimenanginya mengambil keputusan untuk tidak membayar wang RM18,000 tersebut dan membuat laporan polis," katanya.
Ujar Azid lagi, pihaknya kini sedang menyiasat kes tersebut dan meminta orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan iklan-iklan yang ditampal atau diletakkan di kedai-kedai kerana kebanyakannya bermotifkan penipuan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20140313/wp_04/Tilik-nasib-Penoreh-getah-ditipu-RM12492#ixzz2wAzPkM2P
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment