Thursday, June 23, 2011

Tengah Makan Cendol Ditangkap

Peragut ditahan ketika makan cendol

SUBANG JAYA 22 Jun - Tindakan dua peragut bersantai di atas motosikal sambil makan cendol selepas meragut beg tangan seorang wanita di PJS 7/19 Bandar Sunway di sini menjerat diri sendiri apabila mereka akhirnya diberkas oleh polis semalam.

Kejayaan itu berhasil selepas mangsa membuat laporan polis sebaik sahaja beg tangannya diragut dua lelaki bermotosikal pada pukul 2.30 petang.

Ketika kejadian, wanita itu sedang berjalan ke arah keretanya sebelum dihampiri kedua-dua suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha 125z.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, sebaik sahaja menerima laporan, anggota polis dari Bandar Sunway berjaya mengecam kedua-dua suspek kurang setengah jam selepas kejadian.

"Suspek yang berusia 20 dan 22 tahun dikesan ketika duduk di atas motosikal sambil makan cendol di Sungai Way," katanya selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada beberapa anggota polis cemerlang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini, hari ini.

Dalam kes lain, Tun Hisan memberitahu, polis menahan dua penjenayah yang dikatakan cuba menyamun seorang wanita warga emas di Jalan SS15/5E di sini minggu lalu.

Ketika kejadian pada pukul 7 petang Rabu lalu, mangsa diacu dengan parang oleh salah seorang suspek namun jeritan wanita itu disedari sepasukan anggota polis peronda yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Kedua-dua suspek berjaya ditahan selepas dikejar sejauh 30 kilometer sebelum salah seorang daripada mereka yang berusia 26 tahun berjaya diberkas.

Tambah Tun Hisan, kedua-dua suspek dipercayai cuba mencari mangsa selepas tindakan mereka menyamun seorang lelaki sebelum itu hanya memperoleh wang berjumlah RM1.20.

"Suspek yang ditahan memiliki rekod jenayah lampau terlibat dalam kes samun di Negeri Sembilan dan usaha masih dijalankan untuk memburu suspek kedua," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
• Polis cari bomoh wanita, suami

No comments:

Post a Comment