Friday, June 24, 2011

Perompak Indon Sasar Jutawan

Pemilik restoran nasi kandar kerugian RM1.5 juta, rumah disamun suspek warga Indonesia

KUALA LUMPUR 23 Jun - Kejadian samun membabitkan kediaman ahli perniagaan bertaraf jutawan semakin menjadi-jadi apabila sebuah lagi banglo milik seorang pemilik restoran nasi kandar terkenal pula dipecah masuk penjenayah, awal pagi ini.

Sebelum ini, dua banglo milik usahawan wanita terkenal iaitu jutawan produk kecantikan Natasya, Datin Muniroh Kassim serta pengasas produk herba dan kosmetik Sendayu Tinggi, Rozita Ibrahim dimasuki penjenayah mengakibatkan masing-masing kerugian RM500,000 dan RM100,000.

Dalam kejadian terbaru di Jalan PJU/10, Kota Damansara, Petaling Jaya dekat sini pagi ini, pemilik restoran terbabit kerugian kira-kira RM1.5 juta apabila penjenayah melarikan barang-barang berharga disimpan di rumahnya termasuk emas yang difahamkan seberat enam kilogram.

Difahamkan, restoran milik mangsa yang difrancais boleh didapati di sekitar Lembah Klang termasuk Petaling Jaya dan Shah Alam dekat sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, sekumpulan tujuh lelaki bersenjatakan parang telah memasuki rumah mangsa pada pukul 5.30 pagi semasa penghuninya sedang nyenyak tidur.

Katanya, mereka memasuki rumah itu mengikut tingkap atas pintu gelongor yang tidak ditutup.

Beliau berkata, mangsa bersama isteri dan anak-anaknya kemudian diikat dengan kain dan tali pengecas telefon bimbit sebelum dikumpulkan di bilik tidur utama rumah berkenaan.

"Suspek dipercayai warga Indonesia kerana bertutur dalam bahasa Indonesia kemudian menggeledah rumah mangsa untuk mencari barang-barang berharga.

"Antara barang-barang dilarikan dari rumah mangsa adalah barang kemas berjumlah RM750,000, wang tunai RM15,000, seutas jam tangan jenama Rolex berharga RM25,000 dan beberapa telefon bimbit," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, keluarga ahli perniagaan itu bernasib baik kerana salah seorang daripada mereka berjaya membukakan ikatan tangannya sebelum membantu melepaskan yang lain.

Katanya, kesemua mereka tidak mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

Tambahnya, kejadian itu kemudian dilaporkan kepada polis yang menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment