Friday, May 10, 2013

macau scam lagi

Sindiket Macau Scam tumpas

Sekumpulan warga China yang disyaki terlibat dalam Macau Scam ditahan di sebuah banglo di Kuching, Sarawak, semalam. - Utusan/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN
KUCHING 9 Mei - Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama polis dari Taiwan dan China menumpaskan satu sindiket penipuan dalam talian melibatkan perpindahan wang melebihi RM4 bilion dikenali sebagai Macau Scam di sini hari ini.
Kejayaan ini berikutan tertangkapnya 84 warga asing dan seorang lelaki tempatan di dua buah rumah mewah di bandar raya ini pagi ini.
Dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 pagi, suspek berusia antara 20 hingga 30-an terdiri daripada 55 warga Taiwan, 29 warga China dan seorang warga tempatan ditahan di dua buah banglo di Laman Bong Ching dan Jalan Bampfylde.
Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, 55 suspek warga Taiwan terdiri daripada 31 lelaki dan 24 perempuan dan seorang lelaki warga tempatan ditahan di banglo pertama di Laman Bong Ching.
Beliau berkata, sebanyak 29 suspek warga China terdiri daripada 16 lelaki dan 13 perempuan ditahan di banglo di Jalan Bampfylde.
"Modus operandi yang digunakan adalah menyamar sebagai anggota polis, sama ada dari China atau Taiwan, menghubungi mangsa memaklumkan kononnya akaun bank mereka sedang disiasat kerana disyaki terlibat dengan kegiatan jenayah dan mungkin akan dibekukan.
"Setelah berjaya menakutkan mangsa, seorang lagi ahli sindiket akan menelefon mangsa dan menyamar sebagai pegawai bank serta mencadangkan mereka memindahkan wang ke dalam akaun sementara yang beroperasi di luar negara," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Acryl Sani, polis turut merampas wang tunai lebih RM10,000, 113 unit telefon, 11 unit komputer riba, dua unit komputer desktop, 11 peralatan sokongan internet seperti modem dan router serta 12 unit telefon bimbit.
Sindiket tersebut dipercayai menjalankan kegiatan sejak Februari lalu menggunakan kediaman tersebut sebagai pusat operasi untuk membuat panggilan telefon kepada mangsa yang kebanyakan merupakan warga asing.
Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, sindiket terbabit menggunakan Voice Over Internet Protocol (VoIP) yang membolehkan mereka membuat panggilan telefon dari Kuching ke China atau Taiwan.
Beliau berkata, kesemua suspek akan diekstradisi ke negara masing-masing untuk menghadapi pendakwaan.

No comments:

Post a Comment