Wednesday, October 24, 2012

peragut cari hingga ke rumah

Mangsa ragut terancam keluarga suspek cari sampai rumah
AZIZAN INCHE HARUN
24 Oktober 2012
 Mangsa ragut terancam keluarga suspek cari sampai rumah
Shui Wen bersama bapanya menunjukkan laporan polis dan foto kecederaan yang dialami
JOHOR BAHRU – Mangsa ragut di Jalan Lingkaran Dalam berhampiran Danga City Mall, di sini berasa terancam dengan kehadiran keluarga suspek yang meminta kes itu ditarik balik.

Yong Shui Wen, 30, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama bapanya, Yong You Kim, 58, menunggang motosikal ke tempat kerjanya di Singapura kira-kira jam 6.30 pagi, 10 Oktober lepas.

Menurutnya, secara tiba-tiba seorang lelaki bermotosikal menarik beg sandang milik bapanya yang diletakkan di dalam bakul sehingga mereka terjatuh.

“Saya bersama bapa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk muka dan kedua-dua belah tangan dan kaki sehingga dikejarkan ke hospital.

“Kami bernasib baik kerana ketika kejadian anggota polis berada berhampiran sehingga suspek berjaya ditangkap tidak berapa jauh dari lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, di sini, semalam.

Shui Wen berkata, apa yang membuatkannya resah ialah, dia sudah dua kali didatangi beberapa individu yang mengaku keluarga mangsa ke rumahnya pada Sabtu dan Ahad lepas.

“Dua kali mereka datang ke rumah saya dengan menaiki van dan Perodua Kembara meminta maaf dan minta kes ditarik balik kerana katanya ibu suspek tidak sihat dan hidup susah.

“Kami mula rasa tidak selamat dan terancam kerana suspek sudah mengetahui alamat kediaman kami,” katanya.
Katanya, walaupun di dalam beg sandang milik bapanya tidak mengandungi barang berharga, tetapi kejadian dua kali diragut itu benar-benar membuatnya trauma.

“Sepanjang 10 tahun bekerja di Singapura, saya dengan bapa sebelum ini pernah diragut, tapi tidak mengalami kecederaan.

“Kejadian pada kali ini masih membuatkan saya trauma, tambahan apabila melihat kesan luka-luka pada badan yang masih berparut,” katanya.

Sementara itu, Adun Skudai, Dr Boo Cheng Hau berkata, pihaknya telah menulis surat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan dan Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff supaya siasatan terperinci dapat dilakukan segera.

No comments:

Post a Comment