Monday, October 29, 2012

peragut berpistol

Rebah dibedil peragut

Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SUNGAI BULOH: “Dia memang berani kerana mengejar empat lelaki yang cuba menyamun beg tangan dua pelanggan restoran kerana menyangkakan mereka peragut biasa sebelum terkena tembakan,” kata pemilik kedai perabot, Raymond Yam, 24, saksi kejadian tembakan di Pusat Perniagaan Megamas, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa yang juga pemilik pusat aksesori dan pendingin hawa kereta, Lee Chee Long, 32, parah akibat ditembak di dada kiri dan belum sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh (HSB).

Menurut Yam, ketika kejadian, mangsa sedang melayan pelanggan di depan pusat aksesori miliknya apabila tiba-tiba terdengar bunyi jeritan wanita dari restoran yang terletak selang tiga kedai dari premisnya.
“Sejurus jeritan itu, dua motosikal dinaiki empat lelaki dipecut laju dari restoran berkenaan dan mangsa cuba menghalang mereka daripada meninggalkan tempat kejadian.

“Namun, tiba-tiba seorang daripada lelaki terbabit melepaskan empat hingga lima tembakan rambang bagi menakut-nakutkannya. Tetapi, satu tembakan terkena Ah Long manakala satu lagi terkena sebuah kereta yang diparkir berhampiran,” katanya ketika ditemui, semalam.

Yam berkata, adik mangsa yang bekerja di pusat yang sama juga cuba membantu abangnya menahan keempat-empat lelaki terbabit tetapi terpaksa menyorok selepas tembakan dilepaskan.
“Ah Long kemudian rebah di depan premisnya akibat terkena tembakan di dada kiri sebelum seorang pelanggan membantu dengan membawanya ke hospital dengan menaiki kereta.

“Manakala,keempat-empat lelaki terbabit terus melarikan diri sebelum orang ramai menghubungi polis,” katanya.
Katanya, dia difahamkan kumpulan lelaki terbabit cuba menyamun beg tangan dua pelanggan wanita yang sedang minum di restoran itu.

“Seorang lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh turun dari motosikal dan terus menuju ke arah dua wanita berkenaan.

“Dia kemudian cuba meragut beg seorang daripadanya yang diletakkan di atas meja tetapi berlaku tarik-menarik sebelum rakan mangsa cuba membantu,” katanya.

Yam berkata, tiba-tiba lelaki terbabit mengacu pistol di kepala rakan mangsa. Namun, rakan mangsa menyangkakan ia senjata mainan sebelum bertindak menolak lelaki terbabit.

“Tindakan itu menyebabkan lelaki terbabit naik berang dan menghentak kepala rakan mangsa dengan gelas sehingga cedera.

“Kedua-duanya kemudian menjerit meminta tolong dan berlari ke arah belakang kedai untuk menyelamatkan diri sebelum lelaki terbabit segera beredar,” katanya.

Adik mangsa, Sam Lee, 27, berkata tembakan itu mengenai paru-paru abangnya dan sudah menjalani pembedahan mengeluarkan peluru serta darah daripada organ berkenaan kira-kira jam 11 malam, kelmarin.

“Bagaimanapun, abang saya yang masih bujang belum sedarkan diri.

“Kami sekeluarga bersedih dengan kejadian ini dan tidak menyangka niat murni abang yang juga anak sulung mahu membantu mangsa tetapi dia pula ditimpa tragedi,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Tuah Masrom, mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 kerana kesalahan memiliki senjata api.

“Siasatan mendapati keempat-empat suspek menaiki dua motosikal dan semua mereka memakai topi keledar berpenutup bagi mengelak wajah dikenali dan menggunakan pistol jenis semi automatik 9 milimeter.

“Bagaimanapun, polis sudah menubuhkan pasukan khas bagi memburu mereka termasuk mengadakan sekatan jalan raya melalui Ops Tutup,” katanya.

No comments:

Post a Comment