• Bekas guru ditipu dua 'haji' Chee Heng menunjukkan tiket daripada sebuah agensi nombor ramalan yang kononnya dimenangi seorang pesara guru sebelum mangsa menyedari dia ditipu.
1 / 1
PETALING JAYA – Perkenalan seorang pesara guru dengan dua lelaki yang mendakwa diri mereka bergelar haji berakhir dengan insiden dia ditipu sebanyak RM120,000.

Pengerusi Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia, Kuan Chee Heng berkata, kejadian dikatakan bermula apabila warga emas itu membeli nombor ekor di sebuah agensi nombor ramalan di SS14, Petaling Jaya.

Mangsa didatangi dua lelaki yang memperkenalkan diri mereka sebagai ‘haji’ dan meminta bantuannya membeli nombor ekor.

"Kedua-dua lelaki itu berjaya mempengaruhi mangsa dan mendakwa nombor bakal dibeli pasti akan ‘kena’.

"Mereka kemudian berbincang dan bersetuju berkongsi wang membeli nombor yang diramal menang besar itu," katanya.

Menurut Chee Heng, nombor berkenaan dicatatkan di atas sekeping kertas namun kedua-dua lelaki itu mengarahkan mangsa supaya tidak melihatnya dan terus berikan kepada pekerja di agensi nombor ramalan terbabit.

Bagaikan dipukau, mangsa hanya menuruti apa yang disuruh dan kemudian pulang ke rumah tanpa mengesyaki sebarang insiden buruk.

Keesokan harinya, salah seorang daripada dua lelaki itu menghubungi mangsa dan mengatakan nombor yang dibeli memenangi hadiah lumayan bernilai RM2 juta.

“Mangsa diarahkan membayar sedikit wang kononnya untuk membuat ‘korban’ kambing sempena kemenangan itu dan perlu membayar wang sebanyak RM240,000 untuk dibahagikan,” katanya.

Mangsa pada awalnya mendakwa tidak mempunyai wang, bagaimanapun sekali lagi bagai dipukau, dia menyerahkan wang tunai sebanyak RM120,000 kepada lelaki berkenaan.

Dia juga dikatakan meminta wang sebanyak RM50,000 daripada anaknya untuk diserahkan kepada kedua-dua lelaki terbabit, namun tidak ditunaikan.

“Selepas dua hari, mangsa  menyedari dia ditipu kerana gagal menghubungi kedua-dua ‘haji’ berusia 50-an itu,” katanya.

Chee Heng turut menasihatkan orang ramai supaya waspada dan tidak mudah tertipu dengan taktik kotor seperti itu.