Pegawai bank jadi dalang
Abdul Rahim (kiri) menunjukkan cek yang berjaya dirampas dari sindiket berkenaan.
GEORGETOWN - Dua bekas pegawai bank ditahan dipercayai terlibat dengan kegiatan pemalsuan dan pemintasan cek membabitkan nilai lebih RM1 juta sejak dua tahun lalu.

Kegiatan mereka terbongkar apabila polis melakukan serbuan di sebuah hotel di Jalan Macalister dan berjaya menahan kedua-dua lelaki itu yang masing-masing berasal dari Selangor dan Melaka, Ahad lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri kira-kira jam 11 pagi berdasarkan maklumat dan intipan pihaknya sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, hasil serbuan, pihaknya berjaya merampas sebanyak 329 keping cek pelbagai bank dengan nilai RM534,409, wang tunai berjumlah RM400, 11 keping kad kredit pelbagai bank di atas nama orang lain dan 12 keping kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) termasuk beberapa peralatan komputer lain.

Abdul Rahim berkata, modus operandi sindiket berkenaan ialah mencuri cek di pejabat yang terdapat peti surat dan memilih surat berisi cek, kad kredit ataupun kad ATM manakala yang tidak berkaitan akan dibuang.

“Mereka kemudiannya akan meminda cek-cek itu dengan cara mengikis menggunakan mata pisau dan menggunakan pita pelekat untuk menanggalkan nombor-nombor di permukaan cek.
“Suspek turut bertindak menulis akaun bank yang lain dan cek itu akan dimasukkan kepada rakan-rakan mereka bagi tujuan menumpang akaun dan semua rakan mereka yang memberi kerjasama akan diberi habuan 30 peratus daripada nilai cek itu,” katanya pada sidang media di IPK di sini, semalam.

Turut hadir Ketua JSJK negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik.

Abdul Rahim berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek terlibat beberapa kes di IPK Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Melaka dan amat dikehendaki polis.
“Siasatan masih diteruskan bagi mengesan dua lagi suspek dalam kegiatan terbabit.

“Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan hasil semakan lampau, suspek terlibat dengan 10 kes dan tiga laporan dikehendaki kes penipuan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana syarikat yang mendapati cek-cek mereka yang tidak dilunaskan untuk pembayaran yang tertentu dinasihatkan untuk membuat laporan polis.