Saturday, March 16, 2013

impian berlakon gagal

Impian jadi pelakon terbantut
Wartawan Sinar Harian
14 Mac 2013
Impian jadi pelakon terbantut
Mangsa menceritakan semula tawaran berlakon yang diterima dari individu tidak dikenali.
ALOR GAJAH - Gara-gara terlalu teruja untuk menjadi pelakon, seorang pelajar sebuah kolej di daerah ini kerugian RM1,500 selepas terpedaya dengan janji seorang individu yang menyamar sebagai krew sebuah syarikat perfileman.
Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Amin, 20, mendakwa, dia mula berkawan dengan seorang lelaki menerusi laman sosial pada awal tahun lalu sebelum ditawarkan untuk berlakon dalam sebuah drama terbitan syarikat itu.

Menurutnya, lelaki yang dikenalinya itu berusia dalam lingkungan 20-an dan mereka berkawan sebelum saling bertukar gambar nombor telefon.

"Saya tidak pernah berjumpa dengannya dan ditawarkan berlakon dalam satu watak sebuah drama.

"Disebabkan terlalu teruja dengan tawaran itu saya terus bersetuju. Lelaki itu meminta saya memasukkan wang RM1,500 ke dalam satu akaun atas tujuan pengurusan untuk saya mula berlakon," katanya.

Amin berkata, pembayaran dibuat secara ansuran bermula April hingga September tahun lalu berikutan dia masih belajar.

"Saya langsung tidak mencurigai apa-apa tambahan pula lelaki itu memperkenalkan diri sebagai krew sebuah syarikat perfileman terkenal membuatkan saya yakin untuk menerima tawarannya.

"Wang sudah dimasukkan pada Julai tahun lalu dan saya dijanjikan satu watak dalam sebuah drama yang akan menjalani penggambaran bermula Februari lalu namun sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan berita," katanya.

Dia yang berasal dari Sabah berkata, dia cuba menghubungi nombor telefon yang diberikan sebelum ini namun tiada sebarang maklum balas diterima termasuk menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) membuatkan saya sedar telah ditipu.

"Sepanjang berkawan lelaki itu menunjukkan sikap dan layanan baik serta bersungguh-sungguh untuk mengambil saya berlakon dalam drama Indonesia," katanya, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian membabitkan pelajar kolej itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment