Thursday, November 4, 2010

10 Minit RM200,000

Tiga rompak Tesco RM200,000

KLANG 3 Nov. - Tiga lelaki bersenjatakan parang mengambil masa hanya 10 minit untuk memecah masuk pejabat pasar raya besar Tesco di Bukit Tinggi di sini, sebelum melarikan wang tunai RM200,000.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop memberitahu, kejadian berlaku pukul 11.30 pagi dan pihak polis dimaklumkan mengenainya kira-kira 15 minit kemudian.

Beliau berkata, siasatan mendapati ketiga-tiga suspek yang memakai topi menyerbu masuk ke pejabat pasar raya itu sebaik sahaja dibuka seorang kakitangannya.

"Menurut saksi, pejabat yang terletak di tingkat satu bangunan itu berkunci tetapi ketiga-tiga perompak berjaya masuk apabila dibuka oleh kakitangan terbabit.

"Ketika itu terdapat tiga petugas di dalamnya tetapi mereka tidak diikat atau dicederakan oleh suspek," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan ketika kejadian, ketiga-tiga petugas itu sedang mengira wang tersebut.

Wang tunai itu juga tidak disimpan di dalam peti keselamatan selain pejabat tersebut tidak dikawal oleh pengawal keselamatan.

Mohamad berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian itu didalangi orang dalam kerana suspek mudah memboloskan diri dalam masa 10 minit.

"Salah seorang pekerja di situ telah ditahan untuk membantu siasatan dan gerakan dilancarkan bagi memburu perompak-perompak berkenaan," ujarnya.

Beliau berkata, polis kini sedang menyiapkan lakaran wajah ketiga-ketiga suspek berdasarkan keterangan saksi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata berkumpulan.

No comments:

Post a Comment