Friday, November 4, 2011

tumpang kemudian culik

Guru tarian diculik 5 jam

HULU LANGAT 3 Nov. – Akibat mengikut dua lelaki yang tidak dikenali, seorang guru tarian melalui detik-detik cemas apabila diculik hampir lima jam sebelum diselamatkan oleh teman lelakinya setelah membayar wang tebusan di Sungai Long, Kajang dekat sini semalam.
Sebelum kejadian, mangsa yang berusia lingkungan 20-an dalam perjalanan ke suatu destinasi dan melalui kawasan Kajang namun, setelah melepasi Plaza Tol Batu 11, kereta dipandunya terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah kenderaan kira-kira pukul 9 malam.
Menurut sumber, mangsa kemudian ditawarkan bantuan oleh dua suspek yang menaiki kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu untuk membuat laporan polis.
“Mangsa pada mulanya berat hati namun melihat suspek yang kelihatan bersungguh-sungguh ingin membantu, dia akhirnya bersetuju.
“Dua suspek itu kemudian meminta mangsa meletakkan keretanya di tepi jalan dan selepas itu membawanya ke Sungai Long,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Di Sungai Long, kata sumber, wanita itu diperas ugut oleh suspek yang kemudian menghubungi keluarga mangsa untuk meminta wang tebusan sebanyak RM50,000 bagi membebaskannya.
Mangsa dibebaskan kira-kira pukul 2 pagi selepas teman lelakinya menyerahkan sejumlah wang kepada dua suspek terbabit, kata sumber itu.
Difahamkan, mangsa kini dalam keadaan trauma dan polis sedang memburu kedua-dua suspek terbabit.

No comments:

Post a Comment