Saturday, November 19, 2011

kongsi gelap

Kongsi gelap terbesar

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

KONGSI gelap merujuk kepada perkumpulan sulit penjenayah yang biasanya terbabit dalam kegiatan tidak sah di sisi undang-undang bagi membiayai kegiatan mereka.

Ia mempunyai hierarki tersendiri, mengamalkan budaya angkat sumpah dan adat istiadat yang didasarkan kepada budaya serta tradisi tertentu.

Antara ciri-ciri yang membezakan kongsi gelap dengan kumpulan samseng biasa adalah wujudnya organisasi yang agak kemas, berlakunya warisan kepimpinan, pengrekrutan dan kenaikan pangkat bermula dari bawah.

Biasanya kumpulan ini menjalankan perniagaan dadah, perjudian haram, ah long, pusat hiburan, tempat letak kereta haram, mengutip wang perlindungan, penculikan, rompakan dan pelacuran.

Di Tanah Melayu pengaruh awal kongsi gelap bermula daripada kedatangan kaum Cina untuk menjalankan kerja-kerja perlombongan bijih timah.

Dua kumpulan kongsi gelap terbesar kaum itu pada abad ke-19 dan 20 yang saling bertelingkah adalah Ghee Hin dan Hai San.

Seiring dengan peredaran zaman dan perebutan kuasa serta kawasan jajahan, pelbagai kumpulan kongsi gelap baru telah muncul antaranya Sio Sam Ong (Tiga Maharaja Kecil), Tokong Lima Beradik, 13 Pedang dan Kumpulan 24.

Kumpulan kongsi gelap juga menjadikan lambang-lambang tertentu sebagai ikon kumpulan mereka antaranya haiwan liar, mitos dan senjata api.

Selain kaum Cina, terdapat juga kongsi gelap di kalangan orang Melayu khususnya yang mempunyai darah campuran Arab yang dikenali sebagai Bendera Merah dan Bendera Putih.

Antara kongsi gelap kaum India pula adalah Kumpulan 36, tetapi tidak banyak diketahui mengenainya. Berikut antara kongsi gelap terbesar dalam sejarah negara.

No comments:

Post a Comment