Anggota polis bersalah terima rasuah dipenjara, denda RM20,000
JOHOR BAHRU 24 Nov. - Seorang anggota polis berpangkat lans koperal dihukum penjara dua tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah atas dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM1,180 enam tahun lalu.Pazir Ismail, 52, didapati bersalah menerima suapan wang tunai RM500 daripada Mat Sebon Tomong, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori bernombor pendaftaran TG 3639, BAH 8169 dan ABA 7786 yang tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans yang sah.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pondok Polis Aping Timur, Kota Tinggi kira-kira pukul 11.30 pagi, 5 September 2005.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima rasuah RM680 daripada Mat Sebon atas alasan serupa terhadap ketiga-tiga lori berkenaan di tempat yang sama kira-kira pukul 3.15 petang, 2 Disember 2005.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.
Hakim Madihah Hairullah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan kedua-dua hukuman diperintahkan berjalan serentak.
Menurutnya, sekiranya gagal membayar denda, hukuman pemenjaraan tertuduh boleh dilanjutkan setahun lagi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ridzuan Abd. Malik manakala tertuduh diwakili peguam bela, Khairul Aswad.
No comments:
Post a Comment