6 bersaudara lesap RM30,000
MELAKA 10 Nov. - Hasrat murni seorang suri rumah dari Bachang dekat sini, untuk membantu menyara keluarganya dengan bekerja sebagai pembantu kantin yang ditawarkan dua wanita berakhir dengan mangsa dan lima lagi ahli keluarganya kerugian lebih RM30,000 ditipu kedua-dua suspek.
Mangsa, Rohani Putih, 30, dan lima ahli keluarganya itu kerugian wang tunai dan barang kemas setelah dilarikan dua wanita berusia 20-an terbabit yang dipercayai menggunakan ilmu pukau untuk memperdaya mereka.
Menurut Rohani, kejadian bermula apabila dia dan lima saudaranya berusia 18 hingga 52 tahun yang tinggal berdekatan didatangi dua wanita terbabit dan menawarkan pekerjaan pembantu kantin dengan pendapatan RM950 sebulan, pukul 11 pagi semalam.
Katanya, kedua-dua wanita berkenaan menaiki sebuah van berwarna hijau.
"Ketika itu, saya amat memerlukan pekerjaan kerana suami tidak bekerja akibat sakit jantung. Apabila wanita terbabit menawarkan peluang itu, saya terus merebutnya.
"Lima saudara saya yang lain turut berminat," katanya ketika membuat aduan tersebut kepada Hal Ehwal Awam dan Kebajikan Pejabat Ketua Menteri di sini hari ini.
Kata Rohani, kesemua mereka kemudian dibawa menaiki van ke Hospital Melaka bagi tujuan pemeriksaan kesihatan.
Ujarnya, mereka kemudian dipecahkan untuk menjalani rawatan kesihatan dan dikehendaki menanggalkan barangan kemas masing-masing kerana perlu menjalani pemeriksaan imbasan.
"Yang peliknya, kami tidak membantah langsung kata-kata wanita tersebut walaupun mengetahui tidak sepatutnya barangan kemas ditanggal terlebih dahulu sebelum memasuki bilik imbasan," katanya.
Tambahnya, beg tangan mereka kemudian diserahkan kepada salah seorang saudaranya Rosnah Baba, 52.
"Namun, salah seorang wanita itu tiba-tiba meminta Rosnah mengikutnya ke tandas atas alasan dia perlu menjalani ujian air kencing.
"Disebabkan mak cik ada masalah untuk berjalan lancar, wanita itu menawarkan diri memegang beg tangan kami, namun sebaik sahaja mak cik serahkan (beg), wanita itu terus melarikan diri," katanya.
Ujarnya, selepas menyedari menjadi mangsa penipuan, mereka membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah Melaka Tengah, pukul 3.30 petang pada hari sama.
Pembantu Khas Hal Ehwal Awam dan Kebajikan Pejabat Ketua Menteri, Datuk M. Mahadevan berkata, aduan seperti itu merupakan yang pertama dilaporkan berlaku kepada pihaknya dan meminta polis mengenal pasti identiti dua wanita terlibat.
Menurutnya, enam sekeluarga terlibat akan diberi bantuan kecemasan RM200 selain menerima bantuan khas Majlis Agama Islam Melaka, Tabung Pendidikan negeri dan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
No comments:
Post a Comment