Tiga beranak dihukum mati
|
|
ALOR SETAR 20 Nov. - Tiga beranak dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, selepas didapati bersalah atas tuduhan memproses 368.126 kilogram methamphetamine di Lunas, Kulim kira-kira lima tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd. Azman Husin memutuskan demikian selepas berpuas hati tertuduh iaitu Ong Hooi Beng, 50; anak lelakinya, Ong Eng Keat, 26, dan anak perempuan, Ong Gaik Ee, 24, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
Tiga beranak itu kelihatan tenang sebaik sahaja hukuman berkenaan dijatuhkan ke atas mereka.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membuat persediaan dan memproses dadah jenis methamphetamine bagi tujuan mengedarkan dadah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilang Zmas Synergy Sdn. Bhd., Lot 935, Lorong Makmur 13/1, Taman Makmur, Lunas, Kulim kira-kira pukul 4 petang, 9 Julai 2006.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(C) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan serta boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tiga lagi tertuduh iaitu Pang Chui Kong, 47; Lim Kim Hee, 50, dan Wong Ah Ngau, 52, dilepaskan apabila pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap mereka.
Mohd. Azman dalam keputusan penghakimannya berkata, mahkamah mendapati Hooi Beng, Eng Keat dan Gaik Kee gagal menyangkal kes prima facie pihak pendakwaan dan pembelaan mereka adalah bersifat penafian semata-mata tanpa keterangan lanjut.
Pendakwaan dikendalikan Ketua Unit Pendakwaan negeri, Datuk Razali Che Ani manakala Chui Kong diwakili peguam S. Anthony dan yang lain diwakili peguam Ranjit Singh.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment