Wednesday, November 16, 2011

bersongkok pun tipu

Lagi ditipu lelaki bersongkok
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 16, 2011
kena tipu2
KOTA TINGGI - Sepasang suami isteri yang juga pengusaha sebuah restoran di Jalan Niaga 1, di sini, antara mangsa yang diperdaya dipercayai lelaki sama yang melakukan perbuatan keji itu di Muar seperti yang dilaporkan Sinar Harian, kelmarin.

Norliza Daud, 42, berkata, dia menanggung kerugian sebanyak RM1,000 apabila wang berkenaan dilarikan
lelaki itu, September, lalu.

“Lelaki yang berumur 49 tahun itu memberitahu kami, dia adalah pesara Jabatan Agama Islam. Malah, ketika datang mengutip derma di restoran kami, dia memperkenalkan diri sebagai wakil yang telah dilantik untuk mengutip derma bagi pembinaan masjid di Pulai yang bernilai RM7 juta.

“Dia juga menunjukkan surat pungutan derma yang disahkan berserta cop rasmi beberapa agensi kerajaan yang membuatkan kami percaya kepadanya.

Menurutnya, mereka membenarkan lelaki berkenaan meletakkan tabung di restoran berkenaan untuk mengutip derma.

“Sehinggalah pada suatu hari, saya memberikannya wang tunai RM1,000 untuk ditukarkan dengan wang kecil, tetapi selepas itu, dia telah menghilangkan diri begitu sahaja.

“Selepas kejadian itu, kami cuba menghubunginya, namun dia memberikan alasan terpaksa pulang ke kampung di Pontian kerana ayahnya meninggal dunia.

“Malah, dia juga sempat memberitahu akan kembali ke sini dan akan memulangkan wang berkenaan. Namun sehingga kini, bayangnya tidak kelihatan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, suaminya, Norafnidi Hamzah, 50, berkata, mereka sempat menyelamatkan wang RM1,500 yang sepatutnya diberikan kepada lelaki berkenaan untuk tujuan membantu mereka mengutip derma bagi pembinaan Surau Madrasah Tahfiz Al-Jauhar yang bakal dibuka pada Januari depan.

Pasangan ini sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Muhammad Shamsuddin ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan yang dibuat pasangan berkenaan serta kes ini disiasat
di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment