Wanita parah ditetak suami
SANDAKAN 31 Okt. - Seorang lelaki menetak bertubi-tubi isterinya dengan senjata tajam sehingga parah di rumah mereka di Kampung Mangkalinau, Batu 3, di sini malam tadi.Pemangku Ketua Polis Daerah, Supritendan Fadzil Mohd. Ali berkata, dalam kejadian pukul 7 petang itu, suspek yang berusia 40-an kemudian cuba membunuh diri tetapi dihalang ahli keluarganya dan jiran.
"Polis yang dihubungi bergegas ke lokasi dan menahan suspek. Wanita berusia 35 tahun yang cedera di badan dan kepala itu dikejarkan ke Hospital Duchess Of Kent," katanya di sini hari ini.
Tambah Fadzil, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kejadian itu.
Dalam kes berasingan, polis menahan seorang pekerja sebuah panggung wayang kelmarin, bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja bawah umur di sini, pada 11 Oktober lalu.
Fadzil berkata, mangsa dikatakan berkenalan dengan beberapa lelaki di kawasan Hsiang Garden di sini, sebelum dibawa ke sebuah bangunan berhampiran.
"Difahamkan mangsa dirogol bergilir-gilir oleh kumpulan lelaki itu. Mangsa didapati tidak pulang ke rumahnya di Batu 1 1/2 Jalan Utara di sini sehinggalah ditemui oleh keluarganya di pusat bandar kelmarin.
"Mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibu serta keluarganya sebelum mereka membuat laporan polis. Bertindak atas maklumat, suspek ditahan pada hari sama," katanya.
No comments:
Post a Comment