Monday, November 7, 2011

hati2 wang palsu

Tertipu sindiket wang palsu
Oleh : ROSLINDA HASHIM
Tarikh : November 5, 2011
Tertipu sindiket wang palsu
ALOR SETAR, Kedah – Seorang peniaga warga emas tidak menyangka dirinya menjadi mangsa sindiket wang palsu, menyebabkan dia kerugian RM90 selepas membayar duit baki kepada seorang wanita berumur 20-an.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Mak Mah, 53, berkata, dia didatangi seorang wanita sambil mendukung anak kecil yang menangis, singgah ke gerainya di Jalan Shahab Perdana untuk membeli makanan.

“Wanita itu menghulurkan wang RM100 dan RM7 untuk membayar harga makanan sebanyak RM17. Saya tidak menyedari wang itu palsu sebab wang RM100 diletakkan di bawah, menutupi sebahagian besar wang RM7 berkenaan,” katanya.

Menurutnya, disebabkan anak kecil wanita itu menangis tanpa henti, dia menyerahkan wang baki tanpa memeriksa wang RM100 yang diberikan.

“Sebaik sahaja membayar duit baki, ketika hendak menyimpannya dalam laci, saya lihat kedudukan wang berubah. Tetapi sudah terlambat, wanita itu sudah lesap,” katanya.

Mak Mah berkata, wanita itu menaiki sebuah kereta Viva berwarna putih yang diparkir agak jauh dari gerainya, dan kelibat tiga lelaki lain dilihat berada dalam kereta itu.

“Wanita itu bercakap dalam dialek Kedah dan Mak Mah sempat bertanya dia hendak ke mana. Katanya mahu ke Kuala Kedah. Mak Mah tak mengesyaki apa-apa sebab perwatakannya nampak baik sahaja,” katanya.

Menurutnya, sejurus menyedari dirinya ditipu, Mak Mah segera memeriksa wang itu di sebuah stesen minyak berdekatan, dan terbukti ia palsu.

“Mak Mah harap peniaga kecil lebih berhati-hati kerana dipercayai ini perbuatan sindiket. Sejak berniaga lebih empat tahun, inilah kali pertama kejadian seperti ini menimpa Mak Mah,” katanya.

“Kemungkinan sindiket ini kembali aktif di Kedah, beberapa rakan memaklumkan, sebelum ini kes seperti ini memang berlaku,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan menasihatkan orang ramai yang menerima wang palsu supaya membuat laporan polis supaya siasatan boleh dijalankan dengan lancar.

Adzaman berkata, sepanjang tahun ini, hanya satu kes wang palsu dilaporkan pada pertengahan Mei, manakala pada 2010 sebanyak lima kes.

No comments:

Post a Comment