Remaja tidak tahu direkrut - Polis
Oleh ANI AWANG
pengarang@utusan.com.my
IPOH 16 Nov. - Rata-rata remaja yang ditahan dalam satu serbuan di Teluk Batik, Lumut dekat sini baru-baru ini, tidak mengetahui mengenai upacara angkat sumpah untuk menjadikan mereka anggota kumpulan kongsi gelap Genki Seven.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, berdasarkan keterangan remaja terbabit, hampir kesemua mendakwa hadir ke perjumpaan tersebut untuk menemui rakan serta ahli keluarga setelah dijemput, termasuk melalui laman sosial Facebook.
"Berdasarkan keterangan yang diambil, remaja ini menganggap perjumpaan ini adalah pertemuan keluarga dan mereka mendakwa tidak tahu mengenai rancangan merekrut anggota kongsi gelap.
"Mereka hanya datang selepas menerima jemputan daripada rakan-rakan dan ahli keluarga terdekat," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.
Sabtu lalu, 180 individu termasuk 33 pelajar berusia 17 tahun iaitu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan di sebuah rumah rehat di Teluk Batik, Lumut, Perak kerana cuba menyertai kumpulan kongsi gelap Genki Seven.
Mereka dipercayai mengangkat sumpah untuk menjadi anggota kumpulan diketuai seorang lelaki Melayu yang dipercayai sedang merekrut ahli-ahli baharu terdiri daripada pelbagai kaum untuk terlibat dalam kegiatan keganasan dan jenayah.
Mohd. Shukri memberitahu, pihaknya percaya, perjumpaan tersebut adalah yang kedua selepas polis menahan 107 orang di Tapah, bulan lalu yang mengadakan perhimpunan atas tujuan sama.
"Siasatan juga mendapati, mereka yang kebanyakannya berusia antara 20 hingga 30 tahun datang dari beberapa negeri seperti Kedah, Perak, Terengganu dan Kuala Lumpur," tambahnya.
Bagaimanapun katanya, polis masih menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengetahui matlamat sebenar perjumpaan itu kerana ia juga dihadiri oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar serta kakitangan kerajaan.
Beliau menegaskan, jika siasatan menunjukkan ada unsur-unsur yang melibatkan soal keselamatan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan berlandaskan undang-undang.
Pihaknya akan memanggil semula 33 pelajar terbabit selepas selesai menduduki peperiksaan SPM dan keluarga mereka untuk melengkapkan siasatan itu.
Thursday, November 17, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment