Penarik kereta digantung sampai mati
|
|
JOHOR BAHRU 15 Nov. - Seorang penarik kereta dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh seorang warga emas yang mayatnya ditemui dalam keadaan kepalanya dipukul dan leher dijerut selepas dirompak, empat tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Samsudin Hassan menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Khairul Eirman Aziz, 31, setelah pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
Khairul Eirman didakwa membunuh Tan Kim Ayu, 65, selepas merompak wanita itu di rumahnya di Kampung Tengah 1, Telok Kerang, Permas, Pontian, dekat sini antara pukul 5 pagi dan 1.30 petang, 29 November 2007.
Dakwaan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Menurut fakta kes, Kim Ayu yang masih bujang ditemui mati dalam keadaan kepala dipukul, leher dijerut dan beberapa kecederaan lain selepas dirompak.
Ketika kejadian, wanita tersebut berada seorang diri di rumah itu dan kematiannya hanya disedari setelah panggilan telefon anak saudaranya kepada mangsa tidak berjawab.
Dalam penghakimannya, Samsudin menolak keterangan tertuduh yang mendakwa wujud pihak ketiga bernama Faiz yang sebenarnya terlibat dalam pembunuhan itu.
''Keterangan yang diberikan hanya satu penafian dan rekaan semata-mata. Bagi kesalahan ini hukuman adalah gantung sampai mati,'' kata Samsuddin.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jasmee Hameeza Jaafar manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Haijan Omar.
Terdahulu, semasa rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Khairul Eirman yang berasal dari Kampung Baru Penerok, Pontian menyatakan, ia merupakan kesalahan jenayah pertamanya dan kesal serta insaf dengan perbuatannya.
''Saya juga memiliki empat anak, dua daripadanya sudah bersekolah dan dua lagi masih kecil. Isteri pula tidak bekerja selain saya masih mempunyai ibu yang sudah tua,'' kata anak ketiga daripada lapan beradik itu.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment