Perogol bersiri mengaku rogol
KOTA BHARU 6 Dis. - Suspek yang ditahan pada 25 November lalu kerana disyaki perogol bersiri mengaku terlibat dalam kesemua 26 kes rogol dan cubaan rogol di negeri ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya percaya setakat ini dapat menyelesaikan 16 kes rogol dan 10 kes menggunakan kekerasan untuk mencabul kehormatan.
Beliau berkata, suspek dipercayai menggunakan modus operandi sama ketika melakukan kesemua jenayah itu sejak 2009.
"Suspek yang kita buru selama ini telah tumpas. Memang tidak ada suspek lain. Suspek sendiri mengaku merogol gadis-gadis itu dan gadis-gadis itu juga mengenalinya.
"Kita masih melakukan siasatan terperinci meliputi cap jari, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan keterangan-keterangan mangsa sebelum membolehkan suspek didakwa di mahkamah," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Ahad lalu, seorang lelaki dipercayai suspek kes rogol bersiri membabitkan 19 gadis dan beberapa kes cubaan merogol di negeri ini, berjaya ditahan ketika cuba merogol mangsa terbarunya di dalam sebuah asrama pekerja wanita.
Modus operandi yang digunakan adalah dengan menunggu mangsa berseorangan, mengacukan pisau dan mengikat mangsa sebelum merogol.
Sementara itu, Jalaluddin berkata, pihaknya menahan tiga lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes curi kenderaan menerusi Ops Lejang di dua lokasi di Pasir Mas malam tadi.
"Dalam kes pertama, polis berjaya menahan dua suspek berusia 48 tahun dan 28 tahun di Tendong, Pasir Mas, pada pukul 10.30 malam ketika mereka meleraikan salah sebuah daripada dua kereta dalam kawasan semak," katanya.
Katanya, tangkapan kedua dibuat selepas pihak polis terserempak dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Land Cruiser ketika melalui Jalan Tendong-Pasir Mas yang disyaki kereta curi berdasarkan satu laporan dibuat di Selangor.
"Ketika kenderaan itu cuba dihampiri polis, suspek cuba melarikan diri menghala ke Jalan Bunut Susu-Gelang Mas. Apabila tiba di Kampung Kubang Palas, Tendong, kereta terbabit hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan. Ia melanggar dua batang pokok dan merempuh sebuah rumah di tepi jalan.
"Salah seorang keluar dari sebelah penumpang dan melarikan diri ke dalam semak manakala seorang lagi cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap," katanya.
Tambahnya, hasil ujian air kencing yang dilakukan ke atas ketiga-tiga suspek dalam dua kes terbabit mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.
No comments:
Post a Comment