Anggota 'Pok Su Wa' diburu
KUALA TERENGGANU 18 Dis. - Polis memburu empat anggota kumpulan keluarga 'Pok Su Wa' termasuk dua beradik kerana disyaki terlibat dalam sindiket mencuri kereta di negeri ini dan Pahang.
Usaha menjejaki kesemua suspek dibuat berikutan penangkapan dua remaja lelaki adik beradik pada 4 Disember lalu di Jerteh, Besut yang merupakan anak kepada salah seorang suspek yang sedang dicari itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, suspek dikenal pasti sebagai dalang utama sindiket berkenaan iaitu Anuar Awang Hamat, 40, juga dikenali sebagai Pok Su Wa yang berasal dari Cendering dekat sini.
Tiga lagi yang turut diburu ialah Mohd. Faizul Mohamad, 27, berasal dari Jerteh dan dua beradik berkenaan iaitu Norhisyam Ibrahim, 34, dan abangnya, Azmi, 46.
Azmi merupakan bapa kepada dua remaja lelaki yang ditangkap pada 4 Disember lalu.
Menurut Manoharan, sebelum ini, dalam tangkapan pertama, polis berjaya menemui sebuah kereta jenis Proton Wira dan di dalamnya ditemui beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan.
"Antaranya kunci pendua, gergaji, mesin pemotong dan kikir kecil," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.
Jelasnya, hasil siasatan, kumpulan ini menggunakan modus operandi mencuri kereta dengan membuka kunci pada bonet sebelum membuat kunci pendua menggunakan kikir.
"Kumpulan ini sangat profesional dan boleh melarikan sesebuah kereta itu dalam masa beberapa minit saja," katanya sambil menambah, kereta yang dicuri itu kemudian dijual sebagai alat ganti.
Katanya, susulan daripada tangkapan itu, pihak polis menahan dua individu yang dipercayai membeli kenderaan tersebut dan menemui semula tiga buah kereta curi.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kesemua suspek terbabit diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau talian 09-96354722 bagi membantu siasatan.
Monday, December 19, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment