Keluarga peraih kelapa sawit dirompak RM350,000
HULU TERENGGANU 23 Dis. - Seramai 13 ahli keluarga seorang peraih kelapa sawit melalui detik-detik cemas apabila kediaman mereka disamun empat perompak bertopeng di perumahan Tok Randok, Ajil dekat sini awal pagi ini.
Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, keluarga itu kerugian kira-kira RM350,000 selepas wang tunai sebanyak RM230,000 dan pelbagai barangan kemas serta sembilan unit telefon bimbit milik keluarga itu dilarikan perompak berkenaan.
Ketika kejadian, kesemua mangsa yang berusia antara 22 hingga 59 tahun diikat kaki dan tangan dengan wayar telefon.
Menceritakan detik-detik cemas itu, pemilik rumah berkenaan, Mohamad Saat, 59, memberitahu, kesemua perompak itu memasuki rumahnya melalui pintu utama setelah mengumpil bahagian kuncinya.
Katanya, dia ketika itu berada di dalam bilik tidur utama terkejut apabila mendengar suara isterinya, Tuan Syarifah Tuan Sulung, 59, menjerit memaklumkan rumah mereka dimasuki perompak.
"Perompak itu kemudian terus mengikat saya dan mengambil semua barang kemas milik ahli keluarga yang lain," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Tambahnya, keempat-empat suspek yang bersenjatakan parang, pisau, gunting dan kayu itu kemudian menggeledah bilik sebelum menemui sebuah peti besi mengandungi wang tunai RM210,000 dalam bilik tidur utama.
Jelas mangsa lagi, disebabkan enggan membuka peti besi berkenaan, perompak itu mengarahkan kesemua ahli keluarga berkumpul di dalam sebuah bilik dan kemudian membawa peti besi tersebut ke bahagian dapur dan membukanya sebelum melarikan kesemua duit itu.
"Memang saya simpan duit yang banyak di rumah ketika itu kerana baru sahaja mengeluarkannya dari sebuah bank bagi membeli hasil kelapa sawit pekebun untuk beberapa hari ini.
"Dalam masa yang sama, semua ahli keluarga saya pulang ke kampung kerana mahu melawat mertua saya yang sedang sakit tenat dan membawa kesemua barang kemas mereka bersama-sama," ujarnya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Supritendan Mohd. Rosli Mohd. Amir ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya sedang memburu empat suspek yang terlibat.
No comments:
Post a Comment