Saturday, December 31, 2011

curi gaharu

Sindiket curi kayu gaharu tumpas


ABD. Manab Bahrum (kiri) menunjukkan kayu gaharu yang dirampas dalam satu serbuan di Royal Belum, Gerik, semalam.


GERIK 30 Dis. - Polis berjaya membongkar kegiatan menceroboh Taman Negeri Royal Belum di sini untuk mencuri kayu gaharu yang dipercayai didalangi satu sindiket antarabangsa.
Dalam serbuan pada Sabtu lalu, sebanyak 180 kilogram kayu gaharu bernilai RM360,000 dirampas manakala 10 lelaki warga Vietnam yang dipercayai anggota sindiket itu ditahan.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Abd. Manab Bahrum berkata, serbuan dilakukan di sebuah hutan Taman Negeri Royal Belum, kira-kira lima kilometer dari Jalan Timur Barat di sini.
"Ini merupakan tangkapan terbesar tahun ini di daerah ini. Pekerja warga Vietnam ini dipercayai dibawa masuk ke negara ini sebelum dihantar ke satu tempat di sini.
"Mereka kemudian diturunkan di satu lokasi di tepi Jalan Timur Barat sebelum memasuki hutan simpan ini selama dua minggu hingga sebulan untuk mencari kayu gaharu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Abd. Manab, polis turut merampas tujuh bilah beliung, empat bilah parang, 10 keping pasport, 14 unit telefon bimbit, selaras senapang angin buatan sendiri dan geguli besi, ubat-ubatan serta peralatan memasak daripada 10 lelaki Vietnam berkenaan.
Katanya lagi, ini merupakan tangkapan kedua melibatkan sindiket tersebut tahun ini. Pada 17 Disember lalu, polis menangkap dua lelaki dan seorang perempuan Vietnam dan merampas wang tunai sebanyak RM8,000 dan AS$800 serta empat kilogram kayu gaharu.
Difahamkan, kayu gaharu yang belum diproses mampu mencecah harga RM2,000 sekilogram manakala yang sudah diproses harganya mencapai RM20,000 sekilogram.
Abd. Manab berkata, modus operandi sindiket yang didalangi seorang lelaki warga Kemboja itu adalah mengumpulkan kayu-kayu gaharu tersebut di satu tempat untuk diproses sebelum dieksport ke luar negara.
Katanya, kesemua 10 lelaki Vietnam itu ditahan reman selama 14 hari bermula Sabtu lalu bagi membantu siasatan.
Kes tersebut jelas beliau, disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 kerana membawa keluar hasil hutan tanpa kebenaran dan Seksyen 32 (1) akta sama kerana memasuki hutan simpan kekal tanpa permit.
Kesemua suspek berkenaan juga katanya, disiasat kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.

No comments:

Post a Comment