Dipenjara kerana seluar dalam
Tarikh : December 7, 2011
Raju (bukan nama sebenar) melakukan kegiatan itu hampir enam bulan sebelum dia ditangkap pada jam 2.45 petang di sebuah pasaraya dekat sini apabila seorang pekerja menyedari akan tindakannya.
Menceritakan kembali kisah hidupnya, Raju ketika ditemui wartawan di Kompleks Penjara Seberang Perai berkata, dia mencuri seluar dalam lelaki dan wanita di mana-mana pasaraya adalah bertujuan menjualnya kepada seorang kenalan.
“Dahulu saya bekerja sebagai kerani kilang tetapi diberhentikan apabila syarikat mengalami masalah kewangan.
“Ketika itu, hidup saya dan beberapa pekerja yang diberhentikan itu ibarat layang-layang terputus tali apabila sumber pendapatan untuk menyara keluarga sudah tiada,” katanya.
Menurutnya, selepas beberapa bulan diberhentikan, seorang kenalan lama menawarkan pekerjaan buatnya.
“Rakan saya membuka sebuah kedai bundle di hadapan rumahnya dan beberapa minggu selepas bekerja, barulah saya tahu bahawa kedai berkenaan adalah hasil daripada barang curi. Rakan saya ini akan membeli pakaian lama dan curi daripada mana-mana kenalannya sebelum menjual kepada orang ramai dengan harga yang berpatutan.
“Perasaan janggal untuk melakukan kegiatan terbabit pada mulanya memang menguasai diri ini tetapi apabila sudah biasa, saya menjadi gian untuk mencuri seluar dalam pada mana-mana pasaraya.
“Pulangan lumayan yang diberikan rakan membuatkan saya semakin alpa dan akhirnya membawa padah,”katanya.
Raju berkata, dia hanya mencuri seluar dalam lelaki dan wanita sahaja kerana pulangan yang diperoleh menerusi kenalannya itu amat lumayan.
“Sehelai seluar dalam lelaki dan wanita, saya akan memperoleh RM10 dan disebabkan itulah saya nekad untuk membawa seberapa banyak yang mungkin kepada rakan kerana saya amat memerlukan duit untuk menyara keluarga.
“Bagaimanapun, kegiatan saya itu akhirnya membawa padah apabila ditangkap ketika mencuri untuk kali ke-17 dalam tempoh enam bulan.
“Saya berterima kasih kerana dihukum dan jika masih diluar sana, saya pasti akan terus hanyut.
“Di sini, banyak pengajaran yang saya pelajari dan akui bahawa, tindakan saya itu amat memalukan kerana tidak berfikir panjang sebelum melakukannya.
Diharap, isteri, anak-anak dan ahli keluarga saya dapat memaafkan diri ini serta memberi peluang kedua untuk saya berubah,”katanya.
Raju dijatuhi hukaman penjara selama lima tahun dan bakal dibebaskan pada Ogos 2014.
No comments:
Post a Comment