Janda rugi RM4.5 juta diperdaya 'Awang Hitam'
KUALA LUMPUR 11 Dis. - Seorang janda berusia 56 tahun hanya mampu menangis apabila menyedari dia menjadi mangsa kasanova 'Awang Hitam' yang memperdayakannya melalui cinta siber menyebabkan dia kehilangan wang simpanan berjumlah RM4.5 juta dalam sekelip mata.Seorang lelaki dipercayai warga Afrika mengambil kesempatan memikat mangsa yang merupakan seorang akauntan melalui laman sosial Facebook dengan menyamar sebagai jejaka Inggeris setelah mengetahui wanita itu janda dan kesunyian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, mangsa berkenalan dengan suspek Ogos lalu dan memperdayakan wanita itu setelah mendapat kepercayaannya.
Beliau berkata, mangsa yang jatuh cinta telah digula-gulakan suspek dengan kiriman bungkusan kononnya mengandungi hadiah sebagai tanda kasih sayang.
"Biarpun baru berkenalan, 'teman lelaki' yang berlagak budiman memaklumkan ada mengirim kiriman bungkusan kepada kekasihnya itu melalui seorang teman yang berada di Malaysia.
"Mangsa kemudian diminta menemui rakannya yang merupakan seorang lelaki warga Afrika di ibu negara dan ditunjukkan bungkusan kononnya berisi wang berjumlah AS$5 juta dolar (RM15.752 juta)," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Perdana, di sini.
Syed Ismail berkata, mangsa yang percaya wang ditunjukkan tulen diminta supaya membuat pembayaran bagi pelepasan keselamatan diplomatik untuk membolehkannya membawa pulang wang tersebut.
Menurutnya, mangsa yang tidak menyedari dia sudah terperangkap dalam sindiket 'black money' diarahkan memasukkan wang tersebut ke dalam tiga akaun berlainan kononnya milik tiga syarikat berdaftar di negara ini.
Katanya, mangsa kemudian pulang untuk menyediakan wang bagi membolehkannya mendapatkan 'hadiah' dikirim oleh teman lelakinya itu dan tidak teragak-agak membuat tiga kali pembayaran berjumlah RM4.5 juta ke dalam tiga akaun yang diberikan sebelum itu.
"Dalam tempoh tiga bulan berkenalan, mangsa sudah menyerahkan wang RM4.5 juta kepada sindiket terbabit dan mangsa hanya menyedari ditipu apabila teman lelaki itu masih lagi menghubunginya meminta wang sedangkan bungkusan dijanjikan belum diterima," katanya.
Syed Ismail berkata, mangsa yang tersedar sudah dipermainkan akhirnya tampil membuat laporan polis pada November lalu dan polis yang menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berusaha menjejaki kumpulan sindiket berkenaan.
No comments:
Post a Comment