Saturday, December 31, 2011

sama2 terrjun sungai

Pencuri tamak putih mata
Oleh : RUBIAH OMAR & Zubir Sulaiman
Tarikh : December 31, 2011
Pencuri tamak putih mata
KUALA TERENGGANU- Padan muka! Seorang pencuri bukan sahaja terpaksa berputih mata setelah gagal mendapat sebarang habuan, tetapi lebih malang, dia turut teruk dibelasah penduduk apabila kegiatan jahatnya itu berjaya dihidu dalam satu kejadian di Kampung Padang Air, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, suspek berusia lingkungan 30-an itu kantoi di tangan sekumpulan penduduk yang sedang membuat rondaan keselamatan kampung selepas cubaannya memecah masuk Masjid Kampung Padang Air dipercayai untuk mencuri sempat disedari.

Difahamkan, sebelum itu, suspek yang menunggang motosikal sudah memecah masuk sebuah rumah milik seorang ibu tunggal di kampung berkenaan dan sempat mengambil beberapa barang berharga seperti wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit.

Mungkin tidak berpuas hati dengan habuan yang diperoleh, suspek bertindak berani memecah masuk masjid pula dengan harapan mampu memperoleh habuan lebih.

Menurut salah seorang penduduk yang hanya mahu dikenal sebagai Pok Yah, sejurus menyedari kehadiran ‘tetamu tidak diundang itu’ di dalam masjid tersebut, dia bersama ahli kumpulan yang bertugas mengambil tindakan mengunci motosikal yang ditunggangi suspek menggunakan rantai.

“Suspek yang terkejut mendengar kehadiran kami cuba melarikan diri menggunakan motosikalnya namun setelah menyedari ia telah dirantai, suspek terus melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai berhampiran sebelum mencampakkan semua barangan yang sempat dicuri ke kawasan perkubu-ran berhampiran masjid.

“Melihat suspek terjun ke dalam sungai, kami turut terjun sama bagi memastikan suspek tidak terlepas dan akhirnya kami berjaya menangkapnya di seberang sungai iaitu di kawasan Kampung Petai Bubus, di sini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Katanya, suspek yang bukan penduduk tempatan di situ telah diserahkan kepada polis dari Balai Polis Gong Badak kira-kira jam 8.30 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi Sinar Harian, semalam mengesahkan menerima laporan kejadian dan tangkapan tersebut.


Jahil agama punca sanggup pecah masuk masjid

Sementara itu, Imam Besar Negeri, Aizi Saidi Abdul Aziz berkata, senario kes kecurian di masjid semakin menjadi-jadi sejak belaka-ngan ini, seolah-olah pelakunya tidak takut kepada dosa dan hukum ALLAH SWT di kemudian hari.

“Kejadian ini berpunca disebabkan mereka jahil agama dan berkemungkinan terpengaruh dengan gejala sosial lain seperti pengambilan dadah, alkohol dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, sekiranya mereka ini berfikiran waras dan mengetahui serta memahami hukum-hakam agama, nescaya perkara ini sama sekali tidak berlaku, terutama di rumah ALLAH SWT.

“Kita sering memberi nasihat berhubung perkara ini melalui khutbah Jumaat dan majlis ilmu yang diadakan sama ada di masjid ataupun menerusi program keagamaan yang diadakan.

“Namun apa yang disampaikan ini berkemungki-nan tidak diendahkan apabila mereka ini telah dipengaruhi najis dadah sehinga terdesak untuk mendapatkan wang mudah dengan mencuri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Sehubungan itu, Aizi menasihatkan masyarakat supaya turut sama memainkan peranan dengan mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Katanya, sekiranya ahli kariah ada ternampak keadaan yang mencurigakan, mereka seharusnya segera melaporkan kepada pihak masjid atau menghubungi pihak berkuasa sebelum berlaku sebarang kejadian tidak diingini terutamanya kejadian kecurian.

Bagaimanapun, katanya kebanyakan masjid di negeri ini turut dilengkapi dengan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) namun kes kecurian masih lagi berlaku.

No comments:

Post a Comment