Friday, December 30, 2011

silap pukul da...

Silap pukul kerana gelap
Oleh : FARAH SHAZWANI ALI
Tarikh : December 28, 2011
Amzul-Jusoh
MARANG - Niat buruk membawa padah. Seorang penghidap HIV dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun setelah tersilap memukul rakannya sendiri menggunakan sebilah parang di sebuah kilang baja pada 15 September lalu ketika ingin berbincang masalah hutang.

Natijahnya, tertuduh, Amzul Jusoh, 39, Kampung Rhu Muda didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret Marang di sini, semalam dan hukumannya berlangsung serentak dari tarikh sabitan.

Berdasarkan pertuduhan, pada 15 September lalu antara jam 2.30 pagi hingga 3.30 pagi di Sea Union Fishmill Sdn Bhd di Kampung Batangan, Marang tertuduh didapati telah menyebabkan kematian Hassan Harun, 37, dengan mengetahui bahawa perbuatan itu mungkin menyebabkan kematiannya.

Dengan itu, dia didapati telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh kemudiannya mengaku bersalah atas perbuatan itu namun dalam pembelaannya berkata, dia mempunyai seorang ibu tua yang uzur dan pada masa sama, menghidap HIV yang memerlukan rawa­tan berkala di hospital.

Tertuduh mengharapkan hukumannya diringankan dan dijalankan di Penjara Marang bagi kemudahannya mendapatkan rawatan.

Timbalan Pendakwaraya, Nazlyza Mohamad Nazri dalam hujahnya pula mengharapkan mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan tertuduh dan memberitahu, tertuduh mempunyai beberapa rekod jenayah.

Majistret Nor Azizah Yusof kemudiannya menjatuhkan hukuman lima tahun penjara dan berlangsung serentak dari tarikh sabitan.

Ketika ini, tertuduh sedang menjalani hukuman penjara selama tiga tahun kerana melanggar syarat perintah sekatan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh bersama mangsa dan seorang lagi rakan pergi ke kawasan kilang berkenaan kira-kira jam 3 pagi untuk berbincang masalah hutang dengan seorang lagi rakan mereka.

Bagaimanapun, tertuduh yang ketika itu memegang sebilah parang tersalah memukul mangsa berikutan keadaan persekitaran yang gelap.

Akibat kejadian itu, mangsa yang mengalami kecederaan serius pada kepala dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun, mangsa yang koma selama 12 hari akhirnya meninggal dunia kira-kira jam 8.05 malam pada 27 September lalu di Unit Rawatan Rapi HSNZ.

Setelah sebulan diburu, tertuduh akhirnya berjaya ditahan di sebuah rumah di Kampung Rhu Muda, Marang kira-kira jam 3.45 petang pada 24 Oktober lalu bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment