Wednesday, August 31, 2011
tipu kerja
Pemuda tertipu sindiket minta bantuan
THENG Book menerangkan kepada media mengenai sindiket penipuan wang dan David (kiri) menunjukkan laporan polis pada sidang akhbar Biro Pengaduan MCA Selangor di Petaling Jaya, kelmarin.
KUALA LUMPUR 30 Ogos - Bermodalkan 'ayat' kononnya begitu mudah untuk memperoleh wang, satu sindiket ligat menipu individu yang terdesak untuk mendapat pekerjaan.
Modus operandi sindiket itu adalah mencari mangsanya melalui iklan yang disiarkan di akhbar sebelum mengatur pertemuan kononnya bagi sesi temuduga.
Terbaru, seorang pemuda berusia 29 tahun menjadi mangsa penipuan sindiket itu. Lebih malang, dia ditahan polis dan terpaksa dibebaskan dengan membayar wang jaminan sebanyak RM49,000.
Menceritakan kejadian itu, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai David berkata, selepas tamat sesi temuduga itu, dia menerima panggilan telefon berhubung tawaran kerjanya pada keesokan harinya.
David memberitahu, pekerjaannya cukup mudah di mana dia hanya perlu membuka akaun di beberapa bank bagi dan melakukan transaksi setiap kali diminta berbuat demikian.
"Gaji berupa komisen satu peratus akan diberi bagi setiap pengeluaran," katanya ketika ditemui di Bangunan MCA Selangor di sini semalam.
David pula yang tidak mencurigai helah sindiket itu hanya bertindak seperti pak turut.
Setelah enam bulan bekerja, seperti biasa David diminta untuk mengeluarkan sejumlah wang dari sebuah bank di ibu negara dengan seorang lagi rakannya yang baru ditawarkan kerja itu dan diarah diserahkan kepada majikannya yang hanya dikenali sebagai Nick.
"Tidak sampai 10 minit, rakan saya mengeluarkan wang berkenaan dari bank, saya, rakan saya dan Nick ditahan polis ketika memasuki kereta," ujarnya.
Kata David, Nick pula dibebaskan kerana dia dikatakan tiada kaitan dengan transaksi itu selepas polis meneliti aliran keluar masuk akuannya.
"Malang bagi kami berdua yang terpaksa menjadi mangsa sindiket. Saya menyeru kepada semua supaya tidak mudah mempercayai mana-mana pekerjaan meragukan seumpama ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Selangor, Datuk Theng Book turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan iklan yang menawarkan gaji yang tinggi.
Menurutnya, David kini terpaksa menanggung derita akibat perbuatan orang lain dan dia kini sedang disiasat mengikut mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda jika disabitkan kesalahan.
Beliau memberitahu, MCA akan bertemu dengan pegawai Jabatan Peguam Negara serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan bagi membincangkan isu tersebut.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment