Mangsa berazam lihat wajah peragut
KUALA TERENGGANU 2 Ogos - Mangsa ragut, Maleha Malik, 24, merayu polis dan orang ramai membantu menangkap segera dua peragut yang mengakibatkan dia terlantar di hospital manakala adiknya, Maizatul Akmal, 22, masih koma sejak Ahad lalu diberkas dengan segera.
Menurut Maleha, dia teringin untuk melihat wajah kedua-dua peragut itu dan mahu mereka menerima nasib sama seperti dia dan adiknya.
Ujarnya, jika terus lepas bebas, lebih ramai bakal menjadi mangsa kerana penjenayah seperti itu mungkin sanggup lakukan apa sahaja dan perlu diajar.
"Tolonglah bantu saya dan adik saya untuk tangkap peragut itu dengan segera. Kalau ada maklumat maklumkan pada polis. Saya memang nak sangat lihat wajah peragut itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, kedua-dua beradik berkenaan yang menaiki motosikal, dalam perjalanan dari rumah mereka menuju ke Kompleks Sri Iman dekat sini untuk mengambil wang Dana Bakti Remaja sebelum diragut oleh lelaki yang menunggang motosikal.
Mereka lalu nekad mengejar peragut yang melarikan beg tangan namun bertembung dengan sebuah lagi motosikal dari arah bertentangan di Jalan Kamaruddin di sini lalu terjatuh dan dirempuh oleh sebuah kenderaan dari belakang.
Maleha mengalami kecederaan parah di bahagian tangan dan badan manakala adiknya, Maizatul Akmal yang mengalami pendarahan di kepala, koma dan masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ dekat sini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negeri, Datuk Jamshah Mustapa yang melawat dua beradik itu hari ini turut menyatakan simpati dan pihaknya kini sedang berusaha menjejaki dua peragut itu.
"Saya berharap orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut tampil memberi maklumat walaupun hanya sedikit agar lebih banyak bukti dapat dikumpulkan untuk memudahkan penjenayah itu dikesan," katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan lebih ramai anggota polis akan ditempatkan di kawasan tumpuan sempena bulan Ramadan dan musim perayaan ini.
Wednesday, August 3, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment