Thursday, August 25, 2011

pencuri kereta bersiri

Curi kereta di pusat servis

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
pengarang@utusan.com.my

SEREMBAN 24 Ogos – Misteri kehilangan beberapa buah kereta di pusat servis kenderaan sekitar bandar ini terjawab selepas polis berjaya menahan seorang lelaki dan membawa kepada penemuan empat buah kereta curi bernilai lebih RM200,000 di sini semalam.

Suspek yang berusia lingkungan 40-an ditahan kira-kira pukul 6 pagi di Sikamat ketika polis sedang mengesan kehilangan sebuah kereta BMW 3 siri yang dilaporkan hilang pada pukul 5 petang kelmarin, di sebuah pusat servis di bandar ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, bertindak atas maklumat diterima, polis berjaya mengesan kereta berkenaan yang ditinggalkan di deretan kedai sekitar Sikamat, sebelum membuat intipan bagi memberkas suspek.

“Kita membuat intipan selama sejam selepas menerima maklumat berhubung kecurian kereta BMW berwarna putih itu.

“Kereta itu dipercayai ditinggalkan di kawasan lain sebelum suspek datang keesokan harinya ketika cuba menghidupkan kereta yang dicurinya itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid.

Menurut Osman, modus operandi lelaki tersebut adalah dengan menaiki kenderaan lain ke pusat servis lalu meninggalkan kereta tersebut sebelum mencuri kereta lain.

Katanya, hasil tangkapan suspek yang rekod jenayah lampau itu turut membawa kepada penemuan tiga lagi kenderaan curi iaitu Perodua MyVi, Kia Spectra dan pacuan empat roda Mitsubishi Triton.

“Berdasarkan siasatan, suspek berasal dari Perak dan melakukan jenayah itu seorang diri. Dia juga dipercayai mempunyai tempat menjual kereta yang dicuri manakala sasarannya apa sahaja kenderaan.

“Selain empat buah kenderaan itu, suspek juga mengaku mencuri beberapa kenderaan lain dan menjualnya di negeri ini, Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.

No comments:

Post a Comment