Wednesday, August 31, 2011

modal rm20 ribu lesap

Modal RM20,000 punah eksekutif diburu along

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Malang berganda menimpa seorang eksekutif jualan apabila bukan saja ditipu sebuah syarikat pengeluar cecair pelincir untuk menjalankan perniagaan eksport hingga kerugian RM20,000, malah turut diburu along kerana membuat pinjaman semata-mata untuk perniagaan berkenaan.

Mangsa, Izudin, 25, berkata dia mengetahui mengenai syarikat berkenaan melalui iklan dalam akhbar sebelum menelefon seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Aida.


Menurutnya, selepas berbincang, wanita terbabit bersetuju membekalkan cecair pelincir serta surat pengesahan mengenai status barangan itu yang konon sesuai untuk dieksport ke luar negara.

“Selepas bersetuju dengan perjanjian bermodalkan RM20,000, saya membuat bayaran ansuran RM5,000 pada 16 Ogos lalu sebelum membuat bayaran kedua RM2,000 pada keesokan hari.


“Wanita itu berjanji menghantar barangan berkenaan selepas saya selesai membayar wang modal itu dan turut membuat pinjaman along semata-mata untuk tujuan itu,” katanya, di sini.


Menurutnya, selepas membuat bayaran ansuran kedua, dia menerima e-mel surat perjanjian daripada wanita terbabit yang meyakinkannya untuk membuat pembayaran seterusnya.

Katanya, selepas menerima wang along, dia membuat bayaran terakhir pada 25 Ogos lalu sebanyak RM13,000 dan selepas menghubungi wanita terbabit, dia dimaklumkan majikannya sudah berada di Sabah untuk membawa pulang bekalan barangan itu sebelum dihantar kepadanya dalam dua hari.


Bagaimanapun, menurutnya, pada hari dijanjikan, dia tidak menerima barangan itu dan selepas mengesyaki tertipu, dia meminta wangnya dikembalikan dan membatalkan urus niaga itu.

“Apabila saya menghubungi majikan wanita itu, dia memaklumkan berada di Sabah dan urusan pemulangan semula wang akan diuruskan Aida, tetapi apabila menghubungi wanita terbabit, dia memberi jawapan sebaliknya.


“Selepas yakin tertipu, saya membuat laporan di Balai Polis Seksyen 15, Shah Alam,” katanya.

No comments:

Post a Comment