Wednesday, August 17, 2011

ah long tewas

Ah long mati dibunuh ketika tuntut hutang

PETALING JAYA 16 Ogos - Tindakan seorang ah long menuntut hutang bersendirian membawa padah apabila dia ditetak sehingga mati di sebuah pusat karaoke di Jalan PJS 5/30, Pusat Komersial Petaling Jaya, (PCC), malam tadi.

Mayat mangsa, Phua Wei Loon, 25, ditemui oleh rakannya di dalam tandas di premis itu dengan pelbagai kesan kecederaan, pukul 9.30 malam.

Difahamkan, Wei Loon sebelum itu datang seorang diri bertemu pemilik karaoke yang juga pengusaha kopitiam di tingkat bawah premis tersebut, untuk memungut hutang.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa yang berasal dari Banting berkemungkinan mati beberapa jam sebelum ditemui rakannya.

"Mangsa datang untuk mengutip hutang daripada pemilik karaoke dan kopitiam terbabit pada petang semalam, namun selepas itu tidak dapat dihubungi rakannya.

"Rakannya yang pergi ke lokasi menemui mangsa dengan kesan cedera dipercayai ditetak dengan senjata tajam. Terdapat kesan pergelutan di lokasi kejadian," katanya ketika ditemui malam tadi.

Jelas Arjunaidi, hasil pemeriksaan mendapati premis itu baru beroperasi dan belum mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).

Beliau berkata, pihaknya sedang memburu pemilik premis terbabit yang kini menghilangkan diri dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di situ.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment