Saturday, August 13, 2011

pukul dengan kayu

Jiran pukul suspek dengan kayu henti serangan

PADANG TERAP 12 Ogos - Tindakan seorang jiran sebuah keluarga yang menjadi mangsa amuk memukul suspek dengan sebatang kayu berduri, akhirnya berjaya menghalang lelaki terbabit daripada terus bertindak ganas.

Mohd. Khairul Shamsuddin, 28, memberitahu, dia terjaga daripada tidur selepas mendengar bunyi bising dan jeritan meminta tolong dari rumah jirannya itu yang terletak hanya kira-kira 50 meter.

Katanya, sebaik memasuki kawasan dapur rumah jirannya, dia nampak mangsa, Seman Siron, 60, terbaring dengan berlumuran darah dan kaki kanannya dari bahagian buku lali telah putus.

"Saya mengambil sebatang kayu berduri dari kawasan dapur dan terus memukul tangan suspek untuk menjatuhkan parang dipegangnya namun gagal.

"Namun, akibat pukulan itu suspek menjerit kesakitan dan meminta saya supaya tidak memukulnya lagi sebelum dia melarikan diri ke dalam hutan," kata Mohd. Khairul ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang semalam, Seman maut manakala isterinya parah selepas ditetak dengan sebilah parang oleh anak mereka yang naik berang dalam kejadian sebelum berbuka puasa itu.

Sementara itu, abang ipar kepada Seman, Ahmad Sabri Abdul Halim, memberitahu, kira-kira empat tahun lalu, suspek pernah memberitahunya dia kerap terdengar suara bisikan di telinganya mengatakan tentang bomoh dan perubatan.

Katanya, ahli keluarganya ada menjalankan perubatan secara tradisional bagi mengubati penyakit pemuda itu tetapi suspek dilihat tidak suka dia diubati dengan lebih gemar bersendirian.

Menurutnya lagi, suspek pernah beberapa kali naik angin tetapi tidak pernah menyerang ahli keluarganya.

"Tindakannya kali ini memang di luar dugaan kerana dia seorang yang pendiam dan tidak bergaul dengan orang," katanya.

No comments:

Post a Comment