Kakitangan kerajaan turut disimbah asid
ALOR SETAR 28 Ogos – Seorang kakitangan kerajaan melecur di tangan, muka, dada dan paha akibat disimbah asid dalam satu kejadian samun di Kota Sarang Semut di sini, semalam.
Kejadian berlaku pukul 11 malam ketika kereta dinaiki mangsa, Rosnani Hussin, 53, dan suaminya yang berusia lingkungan 50-an ditahan dua lelaki tidak dikenali di stesen minyak Shell Kota Sarang Semut.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan berkata, kedua-dua suspek berpura-pura ingin menumpang kereta mangsa dengan alasan minyak kenderaan mereka sudah habis dan dibenarkan pasangan suami isteri itu.
“Bagaimanapun, semasa berada dalam kereta melalui Jalan Permatang Buluh, suspek tiba-tiba mengacu pisau kepada pasangan sebelum mengikat suaminya dan dihumban ke tepi jalan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, lebih kurang lima kilometer dari kawasan tersebut, suspek kemudian memberhentikan kereta dan menyimbah asid ke muka isteri mangsa lalu meninggalkan kereta mangsa.
“Suami mangsa ditemui dalam keadaan tangan dan kaki berikat oleh orang awam di tepi jalan menghala ke Bukit Besar manakala wanita itu ditemui oleh polis di Guar Chempedak.
“Mangsa dibawa ke Hospital Yan untuk rawatan namun kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk rawatan lanjut,” ujarnya.
Menurut Adzaman, jumlah kerugian yang dialami mangsa adalah barang kemas dan wang tunai bernilai RM10,000.
Sementara itu, Pengarah HSB, Datuk Dr. Juita Ghazalie berkata, mangsa kini dirawat di Unit Kebakaran dan keadaannya kini stabil.
“Hasil pemeriksaan, tubuhnya melecur 20 peratus dan mengenai mata mangsa. Malah, wap asid ini turut memasuki paru-parunya,’’ jelasnya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Monday, August 29, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment