Monday, September 26, 2011

terjun dari kereta yang disamun



Wanita disamun nekad terjun dari kereta yang bergerak

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Seorang wanita yang disumbat dalam but kereta dengan mata ditutup dan tangan diikat, bertindak nekad terjun dari kenderaan yang bergerak laju di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban di sini kelmarin, untuk menyelamatkan diri daripada dua lelaki yang menculik dan menyamunnya.

Mangsa, Lim Lee Sun, 45, yang membantu kakaknya berniaga di gerai makan berhampiran Pasar Taman OUG, Jalan Klang Lama di sini, telah disamun dan diculik oleh suspek pukul 7 pagi.

Menurut Lee Sun, kejadian berlaku sebaik sahaja dia memberhenti dan mematikan enjin kereta di tempat letak kenderaan berhampiran kedai makan.

Katanya, secara tiba-tiba seorang lelaki bersenjatakan parang meluru masuk ke tempat duduk sebelah pemandu dan mengacukan parang ke arahnya.

"Lelaki terbabit mengarahkan saya bertukar tempat duduk dengannya dan selepas berada di tempat pemandu, dia menyerahkan parang yang dipegang kepada seorang rakannya yang masuk dan duduk di kerusi belakang selepas itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Puchong dekat sini, hari ini.

Lee Sun berkata, penjenayah terbabit membawa dia ke beberapa tempat, termasuk Jalan Kuchai Lama, Taman Sri Sentosa dan Taman OUG sebelum dia dipukul dan disamun semasa berhenti di satu kawasan perindustrian tiga jam kemudian.

"Mereka merampas wang RM2,500 dan barang kemas bernilai kira-kira RM6,000. Pada masa sama, mereka juga membuka tempat duduk belakang dipercayai untuk mencari tangki minyak dan saya mengesyaki mereka mahu membakar kereta dan membunuh saya," katanya.

Lee Sun berkata, dia kemudian disumbat dalam but kereta dan disebabkan takut dibunuh, dia berusaha sedaya upaya membuka ikatan mata serta tangannya sebelum dapat membuka but kereta dengan merosakkan wayar-wayar di situ.

Katanya, melalui but yang dibuka sedikit, dia dapat mengintai keluar dan mendapati masih berasa di kawasan perindustrian tetapi belum berani terjun dari kereta kerana bimbang tiada orang menemuinya.

Menurutnya, peluang sesuai untuk meminta bantuan tiba apabila kereta terbabit tiba di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban berhampiran susur ke arah Pusat Beli-belah Mid Valley di sini.

"Tiba di situ, saya berdiri sambil menjerit meminta tolong dan beberapa pemandu kereta lain yang melihat saya terus membunyikan hon dan meminta penjenayah terbabit memberhentikan kenderaan, namun mereka memecut laju.

"Sampai di satu selekoh, saya nekad terjun dari kereta dan bernasib baik apabila pemandu lain berhenti menyelamatkan saya," katanya sambil memberitahu penjenayah terus melarikan diri sebelum meninggalkan keretanya di satu kawasan setelah terlibat dalam kemalangan.

Lee Sun berkata, dia yang mengalami kecederaan di muka, mata, tangan dan kaki akibat dipukul oleh penjenayah serta terjatuh dari kereta dihantar ke hospital oleh orang awam.

Dia yang benarkan keluar hospital semalam, amat bersyukur terselamat dalam kejadian itu dan gembira apabila masih dapat bertemu dengan suami dan anak perempuannya berusia 15 tahun.

No comments:

Post a Comment