Pemuda gemar curi motosikal selama 14 tahun ditangkap
KUALA LUMPUR 15 Sept. - Walaupun sedar perbuatan mencuri salah di sisi undang-undang, seorang pemuda gagal menahan diri daripada melakukan jenayah itu gara- gara mempunyai hobi pelik iaitu gemar mencuri motosikal.
Disebabkan hobi pelik itu, dia akhirnya menerima padah apabila dicekup polis semasa sedang menunggang motosikal curi di Taman Serdang Perdana, Serdang dekat sini, Isnin lalu.
Suspek berusia 27 tahun semasa disiasat mengaku terlibat dalam kegiatan curi motosikal sejak berusia 13 tahun dan dalam tempoh 14 tahun sudah mencuri beratus motosikal di sekitar kawasan Seri Kembangan, Serdang, Puchong, Cheras dan Dang Wangi dekat sini.
Malah, suspek yang tinggal di Cheras sanggup pergi ke Kuantan, Pahang untuk melarikan motosikal di daerah itu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, penjenayah pelik itu diberkas oleh sepasukan anggota polis diketuai Ketua Balai Polis Seri Kembangan, Cif Inspektor Chai Chee Boon semasa menjalankan rondaan cegah jenayah di hadapan Pusat Beli-belah Plaza South City, Seksyen 1, Taman Serdang Perdana pada pukul 5 petang, Isnin lalu.
"Dia yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan enggan berhenti apabila diarahkan oleh polis untuk diperiksa, malah bertindak memecut laju untuk melarikan diri.
"Namun, suspek berjaya ditangkap selepas terlanggar belakang sebuah teksi yang berhenti di bahu jalan dan terjatuh," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini hari ini.
Abd. Razak berkata, siasatan mendapati suspek yang mempunyai dua rekod jenayah lampau iaitu curi motosikal pada 2005 dan 2008, menunggang motosikal yang dicuri dari Kuantan.
Beliau berkata, suspek yang tidak bekerja dan berhenti sekolah sejak berusia 13 tahun mengaku mencuri motosikal adalah hobinya dan tabiat buruk itu sukar dibuang.
Menurutnya, demi memenuhi hobinya itu, suspek sanggup menaiki bas atau komuter ke beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang dan negeri-negeri lain semata-mata mahu mencari motosikal untuk dicuri.
"Motosikal yang dicuri akan digunakan sendiri atau diberikan kepada rakan-rakan secara percuma jika mereka berminat.
"Jika sudah bosan menggunakan motosikal itu, ia akan ditinggalkan di mana-mana bangunan pangsapuri atau tepi jalan," katanya sambil memberitahu ada juga motosikal dijual dengan harga RM250 hingga RM450 jika suspek terdesak memerlukan wang.
Abd. Razak berkata, hasil siasatan lanjut terhadap suspek, polis berjaya menemui enam motosikal bernilai RM30,000 yang dicuri lelaki terbabit sebelum ini.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Friday, September 16, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment