Thursday, September 15, 2011

dirompak ketika leka mengemop

Leka mop lantai, suri rumah dirompak RM20,000

SHAH ALAM – Gara-gara leka mencuci lantai, seorang suri rumah nyaris maut apabila kediamannya dimasuki, empat perompak bersenjatakan parang dalam kejadian di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini, Isnin lalu.

Suri rumah berusia 45 tahun itu juga, terpaksa berputih mata, apabila barang kemas serta wang tunai RM20,000 turut dilarikan perompak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Shah Alam, Deputi Superintendan Kamaruddin Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi ketika wanita itu berseorangan di rumah.

Beliau berkata, sebelum kejadian mangsa membuka pintu pagar dan pintu rumah, sambil mop lantai.

“Mangsa terlalu asyik dengan kerjanya, tidak sedar kehadiran empat perompak menyerbu masuk dan terus mengacu parang ke arahnya.

“Keempat-empat perompak itu mengarah, mangsa tunduk dan melarangnya melihat mereka. Perompak terus ikat tangan mangsa dengan tali pita ukur,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, semua perompak lingkungan 20-an itu, terus menggeledah rumah mangsa dan mengambil RM20,000.

“Mereka turut mengambil rantai leher, subang, gelang termasuk cincin yang dipakai, sebelum melarikan diri,” katanya.

Kamaruddin berkata, mangsa kemudiannya menjerit dan berlari ke rumah jiran untuk mendapatkan bantuan.

Menurutnya, mangsa membuat laporan polis dan dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.

Beliau berkata, usaha memburu keempat-empat perompak, giat dijalankan dan polis menyeru orang ramai mempunyai maklumat kejadian, untuk tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Jawatan Kosong

No comments:

Post a Comment