'Usah terpedaya janji manis sindiket'
Oleh SHARILFUDDIN SAARI
pengarang@utusan.com.my
SEPANG 29 Sept. - Wanita yang dibebaskan dari penjara Ham Tan, Ho Chi Minh, Vietnam kerana terlibat dalam sindiket penipuan kad kredit di negara itu, berazam membantu menyedarkan golongan wanita di negara ini agar tidak menjadi mangsa jenayah itu.
Normazawati Wong Abdullah, 49, berkata, dia akan menggunakan platform Wanita UMNO sebagai jurucakap parti itu untuk mendekati golongan wanita di negara ini seterusnya memberi penerangan tentang jenayah penipuan kad kredit.
Dia yang selamat menjejakkan kaki ke Malaysia menerusi penerbangan AirAsia AK 881 di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) pukul 1.10 petang ini berkata, kini masanya untuk dia menebus kembali kesilapan dilakukannya.
"Saya nasihatkan golongan wanita agar tidak mudah terpedaya dengan janji manis dan tawaran oleh pihak-pihak tertentu (sindiket). Di Vietnam, ada 12 lagi (rakyat Malaysia) yang dipenjara kerana terlibat kes penipuan kad kredit.
"Berhati-hatilah dan jangan mudah percaya ketika kita berurusan untuk peluang dalam perniagaan, khususnya wanita kerana mungkin boleh menjadi mangsa sindiket," katanya di sini hari ini.
Turut mengiringinya pulang ialah Exco Pergerakan Wanita UMNO, Senator Datin Paduka Norhayati Onn dan anak bongsu Normazawati daripada lima beradik, Ansyakinah Zainal Abidin, 24.
Sejurus sampai, Normazawati melakukan sujud syukur.
Normazawati turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Kelab Putera 1Malaysia dan Konsulat Malaysia di Ho Chi Minh kerana membantunya pulang dan menjalani hidup baru bersama keluarganya.
"Saya bersyukur kerana kembali semula ke tanah air selepas tujuh tahun berada di (penjara) negara asing. Saya rasa macam tak percaya dapat berjumpa dengan anak dan keluarga saya semula.
"Saya rasa kalau boleh nak salam dan cium tangan Perdana Menteri. Saya juga syukur walaupun saya mualaf, saya tidak lupa Allah semasa di penjara dan itulah sebab Dia menghantar 'orang baik' membantu saya.
"Saya curi-curi solat kerana di dalam penjara, semua tidak dibenarkan beribadat. Disebabkan kelakuan yang baik, tempoh hukuman saya dipendekkan daripada 10 tahun kepada hanya enam tahun 11 bulan," ujarya.
Sementara itu, Presiden Kelab Putra 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim akan menyelidik kes 12 lagi rakyat Malaysia termasuk seorang wanita yang dipenjara di Vietnam kerana terlibat dalam kes penipuan kad kredit bagi membantu mereka.
"Kita akan berusaha membantu sekiranya mereka disahkan melalui Polis Antarabangsa (Interpol) dan Wisma Putra menjadi mangsa penipuan seperti Kak Norma (Normazawati).
"Golongan ini selepas diselamatkan, akan bekerjasama dengan Wanita UMNO pula untuk menjadi jurucakap dalam memberi penerangan tentang sindiket tertentu," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Friday, September 30, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment