Thursday, October 14, 2010

Pura_pura! Dapat RM15.000

Pura-pura cari rumah, ibu tunggal kerugian RM15,000

KUANTAN 13 Okt. - Seorang ibu tunggal kerugian kira-kira RM15,000 selepas disamun sekumpulan lelaki yang berpura-pura mencari rumah untuk dijual di rumahnya di Indera Mahkota dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 12.20 tengah hari itu, ibu tunggal berusia 46 tahun itu bersama tiga anak dan seorang pembantunya berada di dalam rumah mereka.

Pegawai Turus Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, semasa kejadian, dua lelaki datang ke rumah ketika mangsa berada di dalam bilik tidurnya.

Katanya, mangsa diberitahu oleh pembantu rumahnya bahawa terdapat dua lelaki datang ke rumahnya.

"Mangsa yang keluar dari biliknya terkejut apabila melihat suspek tersebut sudah berada di dalam rumahnya," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.

Noor Asyikin berkata, suspek tersebut berpura-pura bertanya sama ada rumah tersebut merupakan kediaman contoh untuk dijual dan mangsa menafikannya.

Katanya, mangsa turut menegur suspek kerana memakai kasut di dalam rumahnya sebelum masuk semula ke dalam biliknya.

"Selepas itu, mangsa mendengar pintu biliknya diketuk dan apabila membukanya, dia terkejut melihat dua lelaki tadi bersama seorang lagi rakan mereka mengacukan parang ke arahnya.

"Suspek kemudian menyelongkar rumah dan bilik mangsa dan mengambil wang tunai RM5,000, telefon bimbit, komputer riba, barangan kemas dan kad ATM.

"Suspek meminta nombor pin kad ATM sebelum bertindak memukul belakang mangsa menggunakan belakang sisi parang selepas gagal mendapatkan barangan lain," katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian diikat dan mulutnya ditampal pita pelekat sebelum melarikan diri dengan menaiki kenderaan jenis Perdana V6 berwarna merah dan bercermin gelap.

Bagaimanapun, katanya, mangsa tidak mengalami kecederaan walaupun dipukul oleh penjenayah terbabit.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah membenarkan mereka yang tidak dikenali memasuki rumah.

No comments:

Post a Comment