Wednesday, October 6, 2010

Dulu Gores dan Menang...

Imbas dan menang pula berleluasa


CHE Halim Abd. Rahman (duduk tengah) menunjukkan risalah kertas imbas dan menang di Johor Bahru, kelmarin.

JOHOR BAHRU 5 Okt. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (PPDNKK) Johor mengesan taktik terbaru sindiket gores dan menang setelah beberapa mangsa termasuk warga Singapura mendakwa ditipu dengan kaedah baru yang dikenali sebagai imbas dan menang.

Pengarahnya, Che Halim Abd. Rahman berkata, taktik terbaru yang menggunakan modus operandi hampir sama dengan gores dan menang itu akan memerangkap mangsanya untuk membayar wang hingga mencecah ratusan ribu ringgit sebelum mangsa boleh mengimbas kertas yang diberikan.

Beliau berkata, rata-rata mangsanya akan terpedaya setelah sindiket tersebut menunjukkan hadiah utamanya berupa kereta mewah selain gambar-gambar 'pemenang' yang pernah memenangi hadiah sebelum ini.

''Setiap mangsa yang mengimbas kad yang diberikan pasti akan memaparkan nombor yang sama iaitu 13 di mana hadiahnya adalah tilam kesihatan kerana sememangnya nombor tersebut sahaja akan tertera.

''Selain nombor 13 itu, hadiah lain antaranya kereta mewah, tiket pelancongan dan banyak lagi yang diletakkan nombor satu sehingga 15 hanyalah untuk mengaburi mata mangsanya," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabatnya di Menara Ansar di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Penguat Kuasa PPDNKK negeri, Abdul Hamid Abu Bakar dan Ketua Biro Aduan Awam MCA negeri, Chia Song Cheng.

Menurut Che Halim, sepanjang tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, pihaknya menerima 74 kes berhubung kes gores dan menang dan termasuk kaedah terbaru tersebut yang mana 65 daripadanya telah difailkan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.

Katanya, pihaknya turut mengadakan dua serbuan berasingan di pejabat sindiket gores dan menang di bandar raya ini dan merampas barang keseluruhan bernilai RM330,000.

Katanya lagi, pihaknya kini mengetuai satu pasukan khas yang turut dianggotai oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan politik bagi memantau kegiatan gores dan menang di negeri ini.

Sementara itu, seorang mangsa sindiket imbas dan menang, Rusni Karman, 54, dari Jurong West, Singapura mendakwa, dia didatangi seorang wanita ketika sedang membeli-belah di City Square di sini pada 28 Ogos lalu.

Katanya, dia diminta oleh wanita berkenaan ke pejabatnya di Permas Jaya sebelum diminta membayar RM8,250 untuk mengimbas kad yang menawarkan hadiah lumayan itu.

''Saya hanya memperoleh tilam kesihatan, alat pengurut kaki dan penapis air sahaja dan salah seorang pekerja memberitahu hadiah tersebut boleh ditukar semula dengan wang tunai yang hanya akan dibayar keesokan harinya.

''Bagaimanapun, pekerja terbabit tidak datang ke lokasi yang dijanjikan manakala telefonnya gagal dihubungi," katanya.

Sehubungan itu, Rusni yang merupakan suri rumah membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Johor Bahru Selatan pada 3 September lalu.

No comments:

Post a Comment