Saturday, October 9, 2010

Baru Menyesal

Dhiya menangis minta tolong ibu


2010/10/09

KUALA LUMPUR: “Baby menyesal tak dengar cakap ibu, sekarang dah jadi macam ni, baby tak tahu nak buat apa, tolonglah baby ibu,” kata mangsa sindiket keldai dadah, Nur Dhiya Ain Rosman, 19, yang terpaksa berkongsi bilik dengan 10 suspek kes jenayah sebelum dipindahkan ke bilik berasingan di Pusat Tahanan Ravensmead, Cape Town, Afrika Selatan sejak ditahan 14 Ogos lalu.

Ibu mangsa, Roslah Abdul Jani, 43, berkata, semasa diberi peluang bercakap dengan anak kesayangannya itu, dia tidak dapat menahan sebak kerana anaknya menangis teresak-esak semasa berbual di telefon.

“Hati mana yang tidak tersentuh mengenang nasib anak yang teraniaya akibat perbuatan orang lain di negara asing beribu batu jauhnya,” katanya semalam.


Nur Dhiya atau lebih mesra dipanggil Baby di kalangan keluarga ditahan di lapangan terbang Capetown selepas dikesan membawa 1.2 kilogram dadah syabu dan kini ditempatkan di pusat tahanan, sementara menunggu perbicaraan yang sudah tertangguh sejak 16 Ogos lalu.


Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata, pihaknya sudah mendapatkan bantuan peguam di Cape Town, Stevie Dreyer manakala seorang peguam tempatan, Mohd Firdaus Yaacob menawarkan diri untuk terbang ke Cape Town bagi membantu kes pembelaan Nur Dhiya.


“Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Firdaus yang sanggup mengambil kes ini secara ‘pro bono’ atau percuma atas rasa tanggungjawabnya membantu insan yang teraniaya,” katanya dalam sidang media sempena pelancaran tabung bantuan guaman Nur Dhiya di pejabat Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, di sini, semalam.


Tabung yang akan diletakkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semasa Perhimpunan Agung Umno pada 19hb hingga 23hb Oktober ini, bertujuan membantu membiayai kos guaman bagi perbicaraan Nur Dhiya yang akan diketahui selepas sebutan kes pada 15 Oktober depan di Mahkamah Majistret Belleville, Cape Town.


Sementara itu, Mohd Firdaus yang akan berlepas ke Cape Town pada 14 Oktober berkata, dia akan meneliti maklumat kes berkenaan sebaik berjumpa pihak peguambela mangsa di sana.


“Saya tergerak hati untuk membantu selepas dihubungi Datuk Khairun baru-baru ini dan akan cuba sedaya-upaya untuk membantu kes pembelaan Nur Dhiya,” katanya semalam.


Akhbar pada 13 Ogos lalu melaporkan mangsa kali terakhir menghubungi ibunya kira-kira jam 1 pagi, 9 Ogos lalu dalam keadaan tergesa-gesa dan memberitahu berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Capetown bersama rakan-rakannya.

No comments:

Post a Comment