Tuesday, October 12, 2010

Curi Lori

Tidak sempat larikan treler

Oleh WAN YUSLINA WAN MUDA
utusanpahang@utusan.com.my
KUANTAN 11 Okt. - Percubaan seorang penyamun untuk melarikan treler yang sarat dengan muatan getah tidak kesampaian apabila ditangkap pemandunya di depan sebuah restoran di Jalan Sungai Dua, Karak, Bentong, semalam.

Dalam kejadian pukul 1.30 petang, mangsa bagaimanapun terpaksa mengejar suspek yang memandu treler itu sejauh lebih 20 kilometer (km) sebelum berjaya mendapatkan semula kenderaan tersebut.

Sebelum kejadian, mangsa berusia 30 tahun, dipercayai dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, kelmarin, apabila kenderaan tersebut rosak dan terpaksa berhenti di depan sebuah kilang kertas, di Taman Perindustrian Benus, Bentong.

Pegawai Turus Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, mangsa lalu menghubungi seorang mekanik untuk membaiki treler tersebut.

"Bagaimanapun, kerja-kerja membaiki treler itu tidak dapat diselesaikan pada hari tersebut dan terpaksa disambung keesokannya pada pukul 11 pagi.

"Oleh itu, mangsa meninggalkan treler berkenaan dalam keadaan berkunci di depan kilang tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Menurut Noor Asyikin, keesokan harinya mangsa menghubungi mekanik tersebut untuk mengetahui keadaan treler itu tetapi dia dimaklumkan bahawa kenderaan tersebut tiada di tempat berkenaan.

"Mangsa kemudian bergegas ke tempat berkenaan dan terkejut mendapati kenderaannya itu telah hilang," ujar beliau.

Katanya, tidak lama selepas itu, mangsa mendapat panggilan daripada seorang rakannya yang memaklumkan ternampak treler berkenaan di tepi Jalan Sungai Dua, Karak.

"Mangsa lalu menuju ke tempat tersebut sebelum menemui treler itu dan memintasnya berdekatan restoran Sungai Karak," jelasnya.

Tambahnya, motif kecurian masih belum dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment