Monday, October 11, 2010


Pencuri bateri bas diberkas

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanN9@utusan.com.my

Hau Hun Kow menunjukkan tempat menyimpan bateri yang kosong selepas dicuri di Taman Perindustrian Ayer Keroh, Melaka, semalam.

MELAKA 10 Okt. – Misteri kehilangan sembilan bateri di lima buah bas yang diletakkan di Taman Perindustrian Ayer Keroh di sini sejak empat bulan lalu terjawab apabila pemilik bas itu akhirnya berjaya menangkap pencuri tersebut, hari ini.

Malah, ketika ditangkap, pemilik bas itu, Hau Hun Kow, 47, ternampak suspek sedang meletakkan bateri bas yang baru dicurinya ke dalam raga motosikal sebelum cuba melarikan diri.

Menceritakan detik-detik dia menangkap pencuri bateri bas bersiri itu, Hun Kow berkata, dia yang ditemani isteri, Loo Saw Chen, 45, pergi ke kawasan perindustrian itu kira-kira pukul 10.10 pagi ini untuk membawa bas tersebut yang akan digunakan sebuah keluarga yang kematian ahli ke tanah perkuburan di Ayer Molek.

Sebaik sahaja tiba di tempat dia meletakkan basnya, Hun Kow berkata, isterinya berasa curiga apabila ternampak sebuah motosikal diletakkan di belakang bas terbabit.

“Merasakan ada sesuatu yang tidak kena, saya mendekati dan menegur seorang lelaki yang ketika itu berada di atas motosikal sambil membetulkan kedudukan bateri bas di dalam raga.

“Dengan selamba, lelaki itu mengatakan dia meminjam bateri bas itu dari pemiliknya dan akan memulangkannya tetapi wajahnya terus berubah apabila saya beritahu bas itu kepunyaan saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Menyedari dia sudah terperangkap, Hun Kow berkata, lelaki itu cuba melarikan diri tetapi dia sempat menolak menyebabkan suspek terjatuh dan dihempap motosikal tersebut.

Dalam keadaan mencemaskan itu, katanya, dia terus menarik seluar lelaki itu sebelum menyuruh isterinya menghubungi polis yang tiba kira-kira 15 minit selepas itu.

“Sementara menunggu polis sampai, lelaki itu berkali-kali menafikan perbuatannya itu tetapi saya tidak mengendahkannya,” katanya.

Hun Kow berkata, dia berasa lega kerana berjaya menangkap sendiri lelaki terbabit selain percaya lelaki sama mempunyai kaitan dengan kehilangan sembilan buah bateri bas dari lima buah bas miliknya sejak empat bulan lalu.

“Selama ini, ramai ibu bapa termasuk pihak kilang tidak percaya apabila saya mengatakan bateri bas saya dicuri setiap kali saya lewat tiba di sekolah atau kilang.

“Hari ini, saya sudah buktikan dengan menangkap sendiri pencuri itu dan berharap pihak polis mengenakan hukuman setimpal kepada pesalah itu,” katanya sambil menambah kerugian lebih RM4,00 sejak kejadian itu berlaku.

Sementara itu Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Melaka Tengah, Deputi Supritendan Gan Chip Pho ketika dihubungi mengesahkan tangkapan lelaki berusia 38 tahun itu.

No comments:

Post a Comment