Dua ditipu syarikat barangan elektrik
Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
utusankelantan@utusan.com.my
KOTA BHARU 27 Okt. - ''Bila sudah termakan pujukan jurujual, tiba-tiba kena rasuk. Ini tidak ubah macam orang gila bunga tahi ayam, semua orang kata busuk, tapi digomol juga."
Itu reaksi Presiden Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini semalam dalam perbicaraan dua penuntut yang mendakwa ditipu oleh sebuah syarikat barangan elektrik dipercayai menggunakan teknik gores dan menang.
Presiden, Mohd. Nasrim Datuk Mohd. Salleh dalam penghakimannya berkata, walaupun sudah banyak kali berita berkaitan yang dianggap penganiayaan terhadap pengguna dipaparkan di media cetak atau elektronik, namun masih ada yang menjadi mangsa.
''Cerita-cerita begini sering kali dipaparkan tetapi awak masih lagi sanggup mengeluarkan wang yang banyak dan mempercayai apa yang ditawarkan, selepas kejadian baru menyesal," katanya.
Dalam tuntutan tersebut, plaintif Norazira Mohamed yang membawa suaminya sebagai saksi menamakan Flameless Concept (B) Sdn. Bhd. sebagai defendan yang mewakilkan seorang jurujualnya.
Dalam keterangannya, Norazira mendakwa telah terpedaya dengan tawaran pembelian barangan elektrik termasuk jenama Aowa dan memiliki kad VIP dengan potongan harga sebanyak 50 peratus ketika mengunjungi sebuah pasar raya di sini pada Ogos lalu.
Bagi urusan jual beli tersebut penuntut itu telah membayar sebanyak RM6,109 termasuk membayar deposit untuk tawaran barangan lain.
Hakim bagaimanapun mempersoalkan kewarasan Norazira dan suami yang kedua-duanya merupakan bekas pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) apabila sanggup ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) berhampiran untuk mengeluarkan sejumlah wang RM5,000.
''Penuntut masih waras apabila diminta membayar sejumlah wang untuk beberapa barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh jurujual berkaitan malah ia dilakukan dalam keadaan pujukan bukan paksaan.
''Saya juga tidak nampak penipuan oleh pihak penentang sebaliknya saya menghormati mereka kerana bijak memanipulasi keadaan dan pelanggan," katanya.
Walaupun keputusan dilihat lebih memihak kepada penentang, namun sikap keterlaluan wakil syarikat terbabit ketika memberikan keterangan memakan diri.
Suasana di dalam mahkamah tegang seketika selepas dia menafikan syarikatnya menipu pelanggan seperti yang didakwa dan penentang dilihat naik angin sambil meninggikan suara.
Sehubungan itu, Presiden mengarahkan penuntut memulangkan semula semua barangan termasuk kad VIP yang dibeli daripada syarikat berkenaan selepas dia dibayar sebanyak RM6,109 secara tunai daripada pihak penentang dalam tempoh tiga hari.
Terdahulu, insiden yang sama menimpa penentang yang mewakili syarikat Win Max Living Trading apabila dilihat acuh tidak acuh ketika menjawab pertanyaan Presiden.
Lelaki berambut perang itu juga ditegur Presiden apabila dilihat tidak memahami etika dan peraturan di dalam mahkamah.
Dalam tuntutan tersebut, penuntut, Che Normah Abdullah diminta memulangkan semula sebuah dapur elektrik yang diperolehnya melalui peraduan mirip "gores dan menang" selepas menerima kembali RM1,000 secara tunai daripada pihak penentang.
Dalam keterangannya, seperti modus operandi gores dan menang sebelum ini, Normah dalam keadaan tergesa-gesa mahu pulang ke pejabat kerana masa makan tengah hari hampir selesai, di tawarkan cawan sebagai hadiah ketika ke sebuah pasar raya di Kota Bharu.
Terpedaya dengan pujukan juru jual syarikat berkenaan, dia bersetuju untuk membayar sejumlah wang apabila ditawarkan beli satu barang, dapat dua barang lain percuma namun hadiah yang dijanjikan itu tidak diterima.
Thursday, October 28, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment