Anak tunggal kebas duit KWSP
Oleh Amir Abd Hamid
2010/10/13
KUALA LUMPUR: Hancur luluh hati seorang ibu tunggal apabila mendapati wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah ratusan ribu ringgit yang baru diperoleh apabila bersara selepas puluhan tahun bekerja lesap dari akaun banknya.
Lebih menyedihkan apabila pesara kilang elektronik berusia lewat 50-an itu mendapat tahu orang yang melesapkan wang RM117,000 itu ialah anak lelaki tunggal kesayangannya selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah bank, di sini.
Mangsa yang hanya menyedari kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya hilang baru-baru ini, membuat dua laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dan Balai Polis Jinjang, dekat sini.
Menurut sumber, sebaik melihat wajah anak lelaki dan menantunya bergembira mengeluarkan wang menggunakan kad ATM miliknya, wanita terbabit menangis teresak-esak, menggeletar seluruh tubuhnya dan hampir pengsan.
“Wanita itu beristighfar panjang dan menjadi tidak keruan apabila rakaman terbabit menunjukkan anak dan menantunya berulang kali mengeluarkan wang simpanannya menerusi ATM daripada RM117,000 hingga tinggal RM15.44 sen,” katanya.
Sumber itu berkata, mangsa sedih dan kecewa dengan perbuatan anak serta menantunya dan hasratnya untuk membeli rumah menggunakan wang KWSP itu tidak kesampaian.
“Ketika mangsa membuat laporan, polis sudah mengesyaki kemungkinan keluarga terdekat melakukan perbuatan itu.
“Ini disebabkan dia kehilangan kad ATM yang disimpan di dalam tas tangannya. Bagaimanapun, wanita terbabit enggan menerima kemungkinan itu kerana menganggap anak tunggal kesayangannya itu tidak akan mengkhianatinya ,” katanya.
Berikutan itu, katanya, polis terpaksa meminta bantuan pihak bank untuk melihat rakaman CCTV pada tarikh pengeluaran wang berkenaan dilakukan.
Sumber itu berkata, berdasarkan rekod dan rakaman CCTV bank berkenaan, anak lelaki dan menantu mangsa membuat pengeluaran melalui ATM sebanyak 52 kali dan 16 kali transaksi pindahan bank dalam tempoh sebulan dengan jumlah transaksi maksimum RM5,000 sehari.
Difahamkan, lelaki berusia 30-an terbabit kini menyembunyikan diri dengan membawa isteri dan tiga anak selepas menyedari rahsia kemungkaran dan tindakan derhaka itu diketahui ibunya.
Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.
Wednesday, October 13, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment