Thursday, April 19, 2012

tipu 6 ratus ribu

ARKIB : 18/04/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 2
Pesara rugi RM660,000 ditipu lelaki menyamar polis dari Bukit Aman

MELAKA 17 April - Seorang pesara kerajaan kerugian RM660,000 selepas ditipu lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang sedang menyiasatnya berhubung tuduhan pengubahan wang haram.

Percaya dengan kata-kata 'polis' yang kononnya boleh membantu mangsa memadamkan rekod tuduhannya, lelaki berusia 66 tahun itu bersetuju memasukkan sejumlah wang sebagai balasan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Supritendan Soh Hock Sing berkata, lebih meyakinkan mangsa, nombor yang digunakan oleh suspek untuk menghubunginya sama seperti nombor dari Bukit Aman.

"Mangsa yang percaya setelah melihat nombor tertera dan diselubungi perasaan takut telah memasukkan sejumlah wang diminta ke dalam akaun suspek.

"Perkara sama berulang dan sejak Januari sehingga awal bulan ini, mangsa membuat 10 kali pemindahan wang tunai berjumlah RM660,000," kata Hock Sing pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka hari ini.

Menurutnya, mangsa sedar telah ditipu apabila melakukan semakan dan mendapati dia tidak disiasat oleh polis berhubung kesalahan yang dilakukan di Hong Kong seperti didakwa suspek.

Pada masa yang sama, katanya, mangsa juga tidak dapat menghubungi semula nombor yang digunakan suspek sebelum ini untuk arahan urusan pemindahan wang.

Katanya, polis yang bertindak selepas mangsa membuat laporan pada 9 April lalu berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 22 dan 28 tahun.

Ketiga-tiga lelaki itu ditahan di Muar, Johor dan Jalan Tun Aminah, Johor Bahru pada 10 April serta Jumaat dan Sabtu lalu.

"Siasatan mendapati, ketiga-tiga suspek juga terlibat dalam kes penipuan lain yang hampir sama iaitu meminta duit mangsanya kononnya untuk menutup kes.

"Dalam kes ini, salah seorang suspek lelaki berusia 26 tahun berjaya memperdaya sebanyak RM202,000 daripada mangsanya itu hanya dengan satu transaksi pemindahan wang," katanya.

Menurut Hock Sing, pihaknya masih menjalankan siasatan kemungkinan ada individu lain terlibat atau mempunyai kaitan dengan tiga suspek lelaki itu.

No comments:

Post a Comment