Thursday, April 12, 2012

man kucai lolos

ARKIB : 11/04/2012

Polis buru ketua 'Man Kuchai'




KUALA LUMPUR 10 April - Suspek lelaki yang meloloskan diri dari lokap tahanan sementara Kompleks Mahkamah Jalan Duta sejak Jumaat lalu pasti tidak dapat tidur lena kerana polis kini meningkatkan usaha untuk memburunya.
Operasi besar-besaran kini dilakukan polis bagi mengesan dan menangkap Mohd. Rezuan Abd. Rahman, 32, pemegang kad pengenalan bernombor 801213-05-5591 dan beralamat terakhir di Nombor 2-07-7, Jalan 7/116B, Kuchai Enterpreneurs Park, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, suspek merupakan ketua kumpulan 'Man Kuchai', amat dikehendaki kerana dia seorang yang ganas dan mampu mencederakan orang awam ketika melakukan jenayah.
Berdasarkan rekod polis, kata beliau, suspek sepatutnya dibicarakan atas empat kesalahan jenayah yang melibatkan kes rompakan.
"Kes-kes yang melibatkan suspek adalah rompakan sehingga menyebabkan kecederaan di Cheras, menyamar sebagai pegawai polis untuk merompak di Salak Selatan dan Pantai serta rompakan bersenjata di Petaling.
"Dia juga aktif melakukan jenayah curi kenderaan mangsa dengan menggunakan modus operandi langgar dari belakang selain merompak di kedai-kedai 24 jam khususnya di daerah Brickfields," katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Dalam kejadian Jumaat lalu, suspek meloloskan diri dari lokap tahanan sebaik sahaja dibawa dari Penjara Sungai Buloh ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta.
Kehilangan lelaki itu disedari salah seorang anggota polis pada pukul 8 pagi selepas kesemua 45 tahanan itu disaring sebaik sahaja menyimpan barangan masing-masing.
Menurut Mohmad, suspek pernah ditangkap berhubung kesalahan di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Berdasarkan soal siasat ke atas beberapa tahanan lain, suspek dipercayai melonggarkan gari di tangannya dan meloloskan diri ketika dibawa ke lokap," katanya.
Berikutan itu, kata beliau, siasatan turut dijalankan ke atas beberapa anggota polis yang bertugas semasa kejadian berlaku.
Katanya, jika wujud faktor kecuaian sehingga menyebabkan tahanan terlepas, pihaknya akan mengenakan sama ada tindakan undang-undang atau tatatertib ke atas anggota terbabit.
Beliau dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai supaya segera memaklumkan kepada polis jika mempunyai maklumat mengenai suspek.
"Orang ramai diingatkan supaya tidak sesekali bertindak sendiri untuk menangkap lelaki ini bagi mengelak daripada menjadi mangsa.
"Ahli keluarga suspek juga diingatkan agar tidak melindungi suspek kerana perbuatan mereka ini adalah salah di sisi undang-undang," katanya.
Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri daripada penjagaan yang sah.

No comments:

Post a Comment