‘Datuk Kabi’ didakwa tipu peniaga dan pengurus jualan
10 April 2012
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang menggelarkan dirinya 'Datuk Kabi' dihadapkan di dua mahkamah berasingan hari ini terhadap empat pertuduhan menipu seorang peniaga dan pengurus jualan membabitkan lebih RM27,000 empat tahun lalu.
Tertuduh, C. Kamaleshwaran, 33, yang merupakan ahli perniagaan, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan dua majistret berlainan.
Di Mahkamah Majistret Ampang di sini, Kamaleshwaran didakwa terhadap tiga pertuduhan menipu peniaga, Napizah Mohamed Nor Piah, 35, dengan memberi tiga keping cek, masing-masing bernilai RM5,000 yang tidak boleh ditunaikan di No 60, Taman TAR, di sini pada 4 petang 18 April 2008.
Majistret Zulyana Zoolkapli membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 21 dan 22 Jun depan untuk perbicaraan kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzi manakalatertuduh diwakili peguam Omar Bakhi Ahmad.
Sementara itu, Kamaleshwaran dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dekat sini terhadap pertuduhan menipu pengurus jualan, Arlene Helena Dason, 40, membabitkan cek bernilai RM12,190 dengan memberhentikan pembayaran ke atas cek itu yang kononnya dikemukakan bagi bayaran tempahan dewan untuk majlis hari jadi.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu Eastin Hotel, No 13, Jalan 16/11, Pusat Dagangan Seksyen 16, Petaling Jaya dekat sini pada 5 petang, 10 Oktober 2008.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan atau didenda jika sabit kesalahan.
Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Mei depan untuk sebutan kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Saphirra Selamat manakala tertuduh diwakili peguam Omar Bakhi dan Datuk Suraj Singh.
Kamaleshwaran merupakan adik kepada C.Yoganandha Moorthy, 38, yang juga ahli perniagaan yang dilepas dan dibebaskan bersama rakannya, Mercy Sumathi Christie, 43, tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini terhadap 12 pertuduhan menipu membabitkan RM143,890 pada 2008. - Bernama
Saturday, April 14, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment